Mustahil kami bermasam muka - Stacy tepis sangkaan dingin dengan Bella Astillah - Utusan Malaysia

Mustahil kami bermasam muka – Stacy tepis sangkaan dingin dengan Bella Astillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Mereka lupa saya dahulu pernah miskin.”

Itu jawapan balas penyanyi, Stacy kepada pihak yang menuduh dia berperangai diva kerana menarik diri daripada konsert A Night With Sumandak Stars yang dijadualkan berlangsung pada 30 November ini.

Kata Stacy, dia berlapang dada dan terbuka menerima tohmahan orang dan menganggap perkara itu sebagai asam garam dunia seni tanah air.

“Ingatkah mereka terhadap asal usul saya? Tak mengapalah.

“Saya hanya akan Diva ketika menyanyi, bukanlah apa, hanya mahu menjiwai karakter dalam lagu sahaja.

“Bagaimanapun saya sedar, saya ini isteri kepada Akim Ahmad dan ibu kepada tiga cahaya mata,” katanya.

Stacy berkata demikian ketika pusingan kedua Separuh Akhir Muzik Muzik ke-39, baru-baru ini.

Sebelum ini nama Stacy hangat diperkatakan selepas dia mengumumkan penarikan diri daripada menyertai konsert berkenaan.

Mengulas lanjut, Stacy memaklumkan perancangan untuk mengadakan konsert solo sekitar Jun tahun depan menjadi antara faktor kepada keputusan tersebut.

“Saya sudah maklumkan lebih awal kepada penganjur A Night With Sumandak Stars mengenai perkara ini, saya tidak dapat beri komitmen kerana kesibukan membuat persiapan untuk konsert solo dan album.

“Saya tak marah atau sedih apabila orang salahkan saya kerana tarik diri. Sudah 16 tahun saya menjadi anak seni, tidak mungkin saya tak faham lagi situasi seperti ini.

“Perkara begini biasa berlaku, dan saya tak perlu pun jelaskan. Sekarang ini saya cuma mahu fokus kepada bidang saya,” kongsinya.

Dalam pada itu, Stacy juga menafikan bermasam muka dengan rakan artis dari Sabah, Bella Astillah gara-gara kontroversi membabitkan konsert tersebut.

“Tak ada istillah bermasam muka, dengan Bella atau sesiapapun. Industri seni kita ini terlalu kecil, satu masa kami akan berjumpa juga.

“Agak melucukan kalau ada orang yang menyangkakan hubungan kami dingin.

“Buat masa sekarang masing-masing pun sibuk, kalau pun terjumpa, mustahil mahu bermasam muka,” jelasnya.

Disoal tentang dua lagu hasil ciptaan dia dan suaminya, Akim iaitu Saksama (Akim & The Majistret) dan Sengaja (Amir Masdi), yang layak ke Anugerah Juara Lagi ke-39, Stacy meluahkan rasa syukur dan menganggap pencapaian itu sebagai pendorong kepada dia dan suami untuk menghasilkan lebih banyak karya selepas ini.

“Alhamdulillah, dua lagu dapat ke AJL39 satu nikmat yang cukup besar.

“Pencapaian ini memberi semangat dan keyakinan kepada kami yang masih baru dalam dunia ciptaan lagu untuk terus berkarya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya