DUNGUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan bekalan petrol dan diesel di kawasan yang berisiko banjir, terutamanya di kawasan pedalaman mencukupi sepanjang tempoh musim tengkujuh.
Timbalan Menterinya, Dr. Fuziah Salleh berkata, kelulusan sementara untuk menambah had simpanan petrol sehingga 30 peratus daripada had simpanan sedia ada dibenarkan kepada pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual.
“Bekalan petrol dan diesel tambahan ini telah dihantar ke kawasan yang berisiko banjir bagi mengelak berlaku gangguan bekalan ketika musim tengkujuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pengedaran Barang Perlu, Liquid Petrol and Gas (LPG) dan Community Drumming di Kampung Kuala Jengai, dekat sini, hari ini.
Menerusi program itu, Fuziah berkata, sebanyak RM225 juta diperuntukkan kerjaaan untuk pelaksanaan program ini melibatkan enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah, tahun ini.
“Sebanyak 1,770 pusat penjualan telah diwujudkan di kawasan pedalaman.
“Program ini adalah untuk memastikan penduduk di kawasan pedalaman terpilih mempunyai akses kepada barangan keperluan dan dalam masa sama membantu mewujudkan kestabilan bekalan barang perlu dan kawalan di kawasan pedalaman,” katanya.
Menurutnya, tujuh jenis barangan yang terlibat dalam program ini ialah beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak paket, LPG, petrol RON95 dan diesel.
Fuziah berkata, menerusi program ini juga, kos pengangkutan barangan ke kawasan pedalaman terpilih dibiayai kerajaan.– UTUSAN