KUALA LUMPUR: Murid yang dikenal pasti mengalam tahap kemurungan teruk dan sangat teruk akan dibawa ke sesi konsultasi bersama-sama ibu bapa atau penjaga sebelum dirujuk kepada pakar perubatan di klinik kesihatan atau hospital bagi mendapatkan rawatan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, melalui sesi konsultasi, ibu bapa atau penjaga turut didedahkan kepada pelbagai aktiviti teknik ‘relaxation’ dan kesedaran yang boleh digunakan oleh mereka bagi menyokong kesejahteraan minda anak-anak.
“Selain itu, Kementerian Pendidikan (KPM) bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi penyediaan garis panduan sistem rujukan murid dengan masalah kesihatan mental dan pelaksanaan Health Promotion in Learning Institutions (HePiLI).
“Kolaborasi turut dilaksanakan bersama-sama Yayasan Hasanah dalam pembangunan kapasiti dan literasi kesihatan mental melibatkan guru, PRS serta ibu bapa.
“Pada masa sama, KPM juga menggalakkan pembinaan laman minda di sekolah-sekolah di bawah KPM. Ia berperanan sebagai lokasi strategik untuk menyalurkan maklumat psikopendidikan berkaitan kesejahteraan mental dengan menggunakan medium kreatif dan segar serta mempromosikan amalan gaya hidup sihat,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) meminta Menteri Pendidikan menyatakan tindakan dan langkah-langkah yang berkesan diambil bagi mengatasi isu 12.3 peratus remaja berumur 15 hingga 17 tahun yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung membunuh diri.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, KPM turut melaksanakan Saringan Minda Sihat digunakan sebagai mekanisme pengesanan awal untuk mengenal pasti murid yang berhadapan dengan masalah gangguan emosi.
“Saringan Minda Sihat dilaksanakan sekali setahun kepada semua murid tahun lima hingga tingkatan enam manakala murid yang dikenal pasti mempunyai masalah gangguan emosi teruk dan sangat teruk saringan minda sihat dilaksanakan sebanyak dua kali setahun.
“Murid yang menunjukkan tanda-tanda awal kemurungan diberikan bantuan segera melalui intervensi berfokus menggunakan Modul Minda Sihat, Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) dan Modul Kesihatan Mental Remaja.
“Modul-modul ini menerapkan kemahiran menangani stres, kemahiran menyelesaikan masalah dan menguruskan emosi dengan baik. KPM menyediakan akses kepada bahan psikopendidikan yang disebarluaskan melalui infografik, video pendek, laman minda sihat, panduan kesejahteraan diri di pelbagai platform media sosial,” katanya.- UTUSAN