GERIK: Sebanyak 100 liter atau 20 tong cat bersaiz lima liter digunakan untuk mewarnai bandar ini dengan pelbagai mural yang menggambarkan identiti Gerik.
Mural itu dihasilkan oleh lima orang anak muda, hasil daripada peruntukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Majlis Daerah Gerik (MDG) sebagai pelaksana.
Projek lukisan besar pada dinding serta permukaan jalan itu telah dimulakan sejak September lalu dan dijangka siap menjelang Disember 2024.
Ketua kumpulan pelukis, Syal Sepehee berkata, sebanyak 14 lukisan dihasilkan termasuk dua di atas jalan raya yang digelar sebagai Tiger Crossing atau Lintasan Harimau.
“Keluasan keseluruhan lukisan lebih kurang 3,500 kaki persegi. Tema atau idea mural berkaitan flora dan fauna, aktiviti serta budaya masyarakat setempat.
“Kami mengolah idea mengikut kesesuaian dinding dan tempat mengikut citarasa pelanggan,” katanya yang juga Pengasas kumpulan pelukis tersebut yang dinamakan sebagai Team DakSite kepada Utusan Malaysia.
Barisan pelukis terlibat berusia 25 hingga 30 tahun dengan pelbagai latar belakang pendidikan termasuk perakaunan, kejuruteraan dan seni bina.
Menurut MDG, mural Tiger Crossing menggambarkan Gerik sebagai Bandar Harimau berikutan populasi Harimau Malaya paling banyak di negara ini, terdapat di Gerik. – UTUSAN