ALOR SETAR: Tindakan segelintir warganet yang memuat naik komen tidak baik selepas pemergian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin ditegur Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.
Menurut beliau, tindakan itu bercanggah dengan ajaran Islam dan tidak harusnya dipersetujui oleh mana-mana pihak.
Malah katanya, hadis nabi juga jelas menyatakan agar setiap umat Islam agar menyebut perkara-perkara baik sahaja terhadap individu yang sudah meninggal dunia.
“Menyebut perkara yang tidak elok dan mengaibkan terhadap individu yang meninggal dunia dilarang oleh agama. Kalau mahu cakap berkaitan mereka, sebutkan perkara yang baik-baik saja.
“Tidak perlu sebut atau ungkit perkara yang tidak elok. Kita tidak setuju dengan perbuatan itu kerana tindakan sedemikian bercanggah dengan Islam,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam negeri Kedah yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di sini, hari ini.
Daim yang juga ahli politik veteran dan ahli perniagaan meninggal dunia sekitar pukul 8.21 pagi di Hospital Assunta, Petaling Jaya semalam. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 1, kira-kira pukul 6.06 petang.
Pemergian beliau pada usia 86 tahun mendapat perhatian banyak pihak termasuk pemimpin negara yang mengutuskan ucapan takziah. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan mengiktiraf jasa serta sumbangan beliau kepada negara terutamanya semasa berkhidmat sebagai Menteri Kewangan. – UTUSAN