Mudir madrasah GISBH dipenjara, mahu taubat nasuha

Mudir madrasah GISBH dipenjara, mahu taubat nasuha

ZAHANIZAM Rohan dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah hari ini bagi didakwa atas kesalahan mengajar agama Islam tanpa tauliah.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang mudir sebuah madrasah di Ulu Beting, di sini, yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn. Bhd. mahu bertaubat nasuha dan kembali semula kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Zahanizam Rohan, 51, memaklumkan perkara itu ketika berdepan pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di hadapan Hakim Syarie, Sabarudin Bidin di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia baharu mengajar agama dua tahun dan sebelum itu dia bekerja sebagai pengedar barangan sejuk beku bagi menanggung keluarga.

“Saya minta maaf dan ingin membuat rayuan sebab saya sedang menjalani proses pemurnian akidah rehabilitasi di Pusat Pemurnian Akidah di Ulu Yam selama tiga bulan yang dianjurkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bersama saya 12 anak dan seorang isteri saya ikut sama menjalani kursus. Saya masuk kursus ni secara sukarela dan saya mahu bertaubat, mahu kembali pada ajaran sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah, saya tidak bekerja selama tiga bulan, saya mohon dipertimbangkan rayuan saya,” katanya.

Sabarudin kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda sebanyak RM2,000 kepada tertuduh dan turut menetapkan hukuman dua bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Menurutnya, hukuman adalah sebagai pengajaran kepada tertuduh memandangkan jawatan mudir merupakan jawatan tertinggi dan hukuman perlu diberikan supaya tertuduh insaf serta bertaubat tidak mengulangi kesalahan tersebut lagi.

“Mahkamah juga bersetuju dengan hujah pendakwaan tujuan pemerintah meletakkan tauliah bagi pengajaran agama untuk menjaga kemaslahatan orang Islam khususnya di Negeri Sembilan agar tidak merosakkan masyarakat serta boleh menjadi kanser kepada masyarakat, selain salah faham dari segi pemahaman agama,” tegasnya.

Berdasarkan pertuduhan, Zahanizam didapati mengajar agama Islam yang berkaitan dengan tauhid kepada pelajar-pelajar di Madrasah Dinul Hayah, Kampung Ulu Beting, di sini, tanpa tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya