PETALING JAYA: Management and Science University (MSU) akan melahirkan graduan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) bagi memenuhi kehendak industri semasa.
Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab Yajid berkata, perkara tersebut boleh dicapai dengan kerjasama erat antara universiti dan pemain industri bagi memastikan pelajar memiliki kemahiran yang relevan bagi pasaran kerja.
Menurut beliau, MSU kini terus mengukuhkan sebagai institusi pendidikan tinggi yang komprehensif dengan menawarkan lebih 200 program dari peringkat diploma sehingga ijazah doktor falsafah, PhD.
Disebabkan dunia pendidikan dan industri berubah dengan pantas, beliau berkata, MSU sentiasa berusaha memastikan pelajarnya dilengkapi dengan kemahiran yang setara dengan keperluan semasa.
“Dahulu, laluan pendidikan sangat terhad. Namun kini, pelajar mempunyai minat yang pelbagai. Tidak semua bercita-cita menjadi doktor atau jurutera.
“Ada yang berminat dalam bidang kreatif seperti fesyen, seni grafik atau seni kulinari. Kami di MSU menyediakan platform untuk pelajar memenuhi minat tersebut,” kata beliau semasa melawat Ibu Pejabat Media Mulia Sdn Bhd. di sini semalam.
Mohd Shukri dan delegasi MSU disambut Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd, Azlan Jaafar dan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Aznan Bakar mengadakan lawatan ke pejabat Media Mulia Sdn. Bhd.
Mohd Shukri berkata, MSU menitikberatkan keperluan graduan berkemahiran tinggi dengan hampir 50 peratus programnya berteraskan TVET.
Jelasnya, pembikinan program berkenaan merupakan antara strategi utama universiti dalam menyediakan peluang kepada pelajar dengan bakat dan minat yang pelbagai.
“MSU menjalin kerjasama rapat dengan industri agar pelajar mendapat pendedahan kepada pengalaman sebenar, sekali gus bersedia memasuki dunia pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian.
“Dengan komitmen yang berterusan, MSU bukan sahaja berusaha melahirkan graduan yang cemerlang tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pembangunan modal insan negara,” katanya. – UTUSAN