LUMUT: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) memandang serius berkenaan video tular yang dimuat naik dalam media sosial berkaitan pelupusan anjing dengan niat untuk mengaitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya MPM.
Menurut Jabatan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MPM, video berdurasi 16 saat itu ditularkan di pelbagai platform media sosial sehingga menimbulkan persepsi negatif umum terhadap MPM.
MPM menafikan dakwaan yang terkandung dalam video dan berita tular yang menyatakan bahawa pelupusan anjing jalanan di kawasan daerah Manjung dilakukan dengan cara yang kejam.
“Bangkai anjing yang ditunjukkan dalam video tersebut tidak menggambarkan lokasi sebenar pusat transit anjing jalanan yang digunakan oleh MPM dan lokasi yang ditunjukkan dalam video tersebut tidak dapat dikenal pasti dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan MPM.
“Ditegaskan bahawa segala tuduhan dan dakwaan yang tersebar adalah tidak benar dan amat bertentangan dengan prosedur yang sedang dilaksanakan MPM,” ujarnya.
Semalam media melaporkan polis sedang menyiasat penularan video dalam media sosial mendakwa berlaku pelupusan bangkai anjing dalam bilangan banyak dalam sebuah lubang yang digali, kononnya berlaku di Manjung.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata pihaknya menerima aduan daripada wakil MPM berhubung video tersebut yang dimuat naik di aplikasi TikTok dan Facebook, pada pukul 10.53 malam semalam.
Menurut MPM, pihaknya amat mengambil berat terhadap kebajikan haiwan dan sentiasa memastikan segala tindakan yang diambil dalam pengurusan haiwan jalanan adalah selaras dengan undang-undang serta etika yang ditetapkan.
“MPM menerima aduan daripada orang awam berkenaan bangkai anjing yang mati akibat dilanggar dan perlu dibersihkan.
“Dalam kes-kes tersebut, bangkai anjing yang mati akan ditanam di kawasan pusat transit sebagai sebahagian daripada proses pengurusan haiwan yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Jelasnya, dimaklumkan bahawa bangkai-bangkai anjing tersebut adalah bangkai yang dikutip dan dilupuskan bagi kategori anjing yang mati di kawasan MPM akibat kemalangan atau sakit. – UTUSAN