Motif dua beranak mati ditikam masih disiasat - polis

Motif dua beranak mati ditikam masih disiasat – polis

DUA beranak maut ditikam dalam satu kejadian di tingkat bawah pekarangan sebuah pangsapuri di Ayer Itam, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis masih menyiasat daripada pelbagai sudut motif dua beranak ditikam dengan pisau sehingga mati oleh seorang lelaki dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam di sini, hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 12.54 petang itu, polis telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang individu membawa pisau yang berada dalam keadaan mencurigakan di pangsapuri tersebut.

“Anggota polis yang bertindak atas maklumat kemudian bergegas ke tempat kejadian iaitu di hadapan lobi lif pangsapuri tersebut dan menjumpai tiga individu warga tempatan terbaring dalam keadaan berdarah di atas lantai.

“Mangsa iaitu seorang bapa dan anak perempuannya masing-masing berumur 62 tahun dan 30 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang lelaki berumur 32 tahun yang dipercayai suspek juga ditahan oleh pihak polis,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, seorang wanita dan bapanya maut selepas ditikam dengan senjata tajam oleh seorang lelaki.

Difahamkan, telah berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa sebelum itu sebelum suspek bertindak menikam wanita tersebut dan bapanya.

Menurut Hamzah, suspek yang mengalami kecederaan akibat mengelar dan menikam diri sendiri telah pun dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

HAMZAH AHMAD

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) dan dengan tertangkapnya suspek dan rampasan senjata yang digunakan untuk membunuh kedua-dua mangsa, maka, kes ini dianggap selesai,” katanya.

Tambah Hamzah, ketika ini, pihak polis sedang menyiasat motif suspek dan mengapa pembunuhan itu berlaku dari pelbagai sudut.

“Mohon juga saksi awam yang melihat kejadian secara jelas untuk tampil membantu dalam siasatan,” katanya yang menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut di media sosial sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya