KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kembali mengiktiraf kecemerlangan penggiat seni tempatan menerusi penganjuran Anugerah Seni Negara (ASN) 2024.
ASN merupakan penghargaan paling berprestij dalam industri seni tanah air yang mula diperkenalkan pada 1993 dan kali terakhir diadakan sekitar 15 tahun lalu.
Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, anugerah itu berperanan sebagai penghormatan tertinggi terhadap penggiat seni tanah air yang telah menyumbang dalam pelbagai cabang seni termasuk muzik, tarian, lakonan, kraf dan seni visual.
Katanya, anugerah itu bukan sahaja meraikan penerima anugerah malah turut memberi dorongan kepada mereka untuk terus berkarya dan memperkasakan seni budaya.
“Anugerah ini adalah platform penting untuk menunjukkan komitmen MOTAC dalam memajukan industri seni dan budaya bagi memastikan seni tempatan terus berkembang dan dikenang sepanjang zaman,” katanya ketika ditemui pada Majlis ASN 2024 di sini, malam semalam.
Penganugerahan itu menampilkan empat kategori utama iaitu Anugerah Seniman Negara, Anugerah Khas ASN 2024: Biduan Negara, Anugerah Karyawan Seni dan Anugerah Pendukung Seni.
ASN 2024 turut menyediakan tiga lagi kategori di bawah Anugerah Pendukung Seni iaitu Media, Korporat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atas sokongan dan usaha menyemarakkan industri seni dan budaya.
Majlis itu turut menyaksikan penganugerahan kepada kartunis terkenal, Datuk Mohd. Nor Khalid atau dikenali sebagai Lat yang diiktiraf sebagai Seniman Negara atas sumbangan besarnya dalam seni kartun dan komik.
Lat yang turut membawa pulang hadiah wang tunai RM60,000, trofi, sijil dan sepersalinan pakaian songket menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghormatan amat bermakna dalam perjalanan seninya yang bermula sejak 1960-an.
Kata beliau, karyanya seperti “Kampung Boy” bukan sahaja menceritakan kehidupan masyarakat di Malaysia malah turut mencerminkan nilai-nilai sosial yang sinonim dengan rakyat.
“Saya harap pengiktirafan ini memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berkarya dan menjaga identiti seni negara. Seni harus terus berkembang agar dapat mencerminkan budaya dan cara hidup masyarakat yang kaya dengan warisan,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Dalam pada itu, Anugerah Khas ASN 2024: Biduanita Negara pula dianugerahkan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang bukan sahaja berbakat dalam seni suara bahkan menaikkan industri muzik tanah air di peringkat antarabangsa.
Siti Nurhaliza berkata, kejayaannya dalam industri seni turut mewakili seluruh penggiat seni di Malaysia yang sentiasa berusaha keras memberi sumbangan terhadap bidang seni.
Katanya, diharapkan penganugerahan itu dapat memberi inspirasi kepada generasi muda agar sentiasa berusaha mengejar impian serta memberi sumbangan yang bermakna dalam bidang kemahiran masing-masing. – UTUSAN
SENARAI PENERIMA ANUGERAH
Anugerah Seniman Negara
- Datuk Mohd. Nor Khalid
Anugerah Khas ASN 2024: Biduan Negara
- Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin
Anugerah Karyawan Seni
- Datuk Mokhzani Ismail (Seni Muzik)
- Zakaria Ariffin (Seni Lakon – Pementasan)
- Wong Kit Yaw (Seni Tari)
- Bangie Anak Embol (Seni Kraf)
- Wong Hoy Cheong (Seni Visual).
Anugerah Pendukung Seni
- Radio Televisyen Malaysia (RTM) (Media)
- Yayasan Hasanah (Korporat)