KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan (MoT) telah mengarahkan satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kematian seorang remaja akibat terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbitnya pada soket sebuah bas ekspres di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pasukan petugas khas itu terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Menurutnya, APAD juga telah diarahkan untuk segera menggantung operasi bas yang terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut oleh JPJ.
“Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden renjatan elektrik yang meragut nyawa seorang remaja ketika beliau sedang mengecas telefon dalam bas ekspres yang dinaikinya.
“Pasukan ini diaktifkan untuk menyiasat punca insiden tersebut bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang dan keselamatan penumpang sentiasa terjamin,” katanya semasa sidang media Sesi Pengumuman Dasar Penggunaan Kenderaan NGV di Petronas Cochrane Perkasa di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pasukan itu diberi masa dua minggu untuk memberikan laporan penuh berkenaan insiden.
“Jika ada keperluan, MOT akan menawarkan syarat khas kepada bas yang menggunakan kemudahan itu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbitnya pada soket sebuah bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral..
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, ditemukan maut dalam kejadian jam 6.10 petang.
Hasil pemeriksaan awal polis terhadap tubuh mangsa mendapati terdapat kesan melecur di jari sebelah kiri yang disyaki berpunca daripada renjatan elektrik. Pemeriksaan turut mendapati penghujung kabel yang digunakan cair dan telefon bimbit mangsa berada dalam keadaan panas.- UTUSAN