FAMA bekal 60,000 kit makanan kepada Nadma

Monsun Timur Laut: FAMA bekal 60,000 kit makanan kepada Nadma

FAMA Nadma
AMINUDDIN Zulkipli (tengah) menunjukkan kit makanan yang dimasukkan ke dalam kontena Majlis Pelepasan Pengedaran Kit Bantuan Makanan Bencana Negara MTL di Pusat Memproses Makanan FAMA, Tanjong Karang, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membekalkan 60,000 kit makanan berjumlah RM9 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diedarkan kepada mangsa bencana terutama banjir di seluruh negara.

Edaran bekalan itu meliputi petugas barisan hadapan ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata, negeri tertinggi menerima kit makanan itu antaranya Kelantan,Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah, bagaimanapun bekalan itu mencukupi, namun pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bergantung kepada tahap bencana.

“Berdasarkan rekod tahun sebelum ini, kita sememangnya bersedia untuk mencapai jumlah maksimum bekalan yang telah ditetapkan.

“Setakat ini, sebanyak 34,550 kit makanan dan 15,000 unit makanan sedia dimakan fasa pertama telah diagihkan termasuk di negeri Pantai Timur yang berisiko tinggi,” katanya pada Majlis Pelepasan Pengedaran Kit Bantuan Makanan Bencana Negara MTL, hari ini.

Tambahnya, kit makanan itu sesuai untuk dimakan segera tanpa perlu memasak dan mampu bertahan dalam tempoh sekurang-kurangnya 11 bulan.

“Selain makanan, kita mungkin boleh memberi khidmat nasihat keselamatan kepada mangsa bencana seperti mengedar risalah dalam bentuk kod QR dan sebagainya.

“Kerjasama erat dengan Nadma dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menunjukkan kesediaan agensi terlibat dalam menangani krisis makanan ketika bencana,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu, pihaknya bersedia memastikan bekalan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, daging dan ayam mencukupi pada musim banjir.

“FAMA akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di setiap negeri yang berhubung secara terus dengan pengeluar pertanian.

“Kita juga akan mengenal pasti lokasi berisiko terlebih dulu sebelum berkomunikasi dengan pengeluar dari segi logistik dan perkara berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya