PETALING JAYA: Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara baharu berkuat kuasa mulai 12 November.
Perkembangan itu menjawab desas-desus pelantikan Peguam Negara yang ke-13 bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Ahmad Terrirudin yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
Menurut beliau, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Mohd Dusuki sebagai Peguam Negara selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Shamsul Azri, Mohd. Dusuki yang dilahirkan di Machang, Kelantan kini berusia 57 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Ijazah Sarjana Undang-Undang University of Wollongong, Australia.
“Beliau mempunyai pengalaman yang luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahmad Terrirudin atas perkhidmatan beliau kepada Negara selama beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara. – UTUSAN