MiSHA-UBT tingkat budaya keselamatan tempat kerja

MiSHA-UBT tingkat budaya keselamatan tempat kerja

DELEGASI daripada Persatuan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) dan Universiti Teknologi Malaysia berbincang dengan wakil University of Business and Technology (UBT) semasa melawat universiti itu di Jeddah, Arab Saudi, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) yakin dapat membantu me­ningkatkan budaya keselamatan di tempat kerja secara global menerusi kerjasama yang terjalin dengan University of Business and Technology (UBT) di Jeddah, Arab Saudi.

Ia dibuat menerusi penggabungan dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejajar dengan matlamat kerajaan mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.

Pengerusi Anugerah Kebangsaan Kecemerlangan Prin­sip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHPoP) 2024, Ts. Abd. Mutalib Abd Gapar berkata, kerjasama berkenaan membuka peluang mempertingkat budaya keselamatan di tempat kerja secara global.

“Dengan sumbangan MiSHA dalam menyediakan perkhidmatan konsultansi, la­tihan dan audit keselamatan, usaha ini dijangka memberi impak besar kepada sektor keselamatan dan kesihatan pekerjaan di seluruh dunia.

“Kami yakin melalui kerjasama ini dapat melahirkan profesional yang lebih berkemahiran tinggi dalam bidang keselamatan pekerjaan serta meningkatkan kesedaran ke­selamatan dalam kalangan pekerja di peringkat global,” katanya, baru-baru ini.

Terdahulu, delegasi MiSHA diwakili Abd. Mutalib dan UTM dipimpin Ketua Unit Visa UTM International, Noor Azam Samsudin melawat UBT bagi meneroka peluang-peluang kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi teknikal dan vokasional, penyelidikan, amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH).

Mereka disambut Pengarah Pusat Latihan UBT, Dr. Kho­loud Bajunaied dan Timbalan Pengerusi Pusat Latihan UBT, Maha Basha dan Prof. Madya Dr. Suzilawati Kamarudin.

ABD. Mutalib diberi penerangan tentang teknologi suntingan suara.

Menurut Abd. Mutalib, sebagai penghargaan terhadap usaha UBT menguruskan ke­selamatan dan kesihatan di tempat kerja, MiSHA berhasrat mencalonkan UBT bagi kategori MiSHA Excellence Award on OSH Risk Management in University 2024 pada Majlis Anugerah MiSHA 2024 di Kuala Lumpur, tahun depan.

Katanya, UBT adalah sebuah universiti yang menekankan aspek praktikal dansuasana sebenar di alam pekerjaan di samping ilmu terkini sentiasa diberi nilai tambah sesuai keperluan
semasa dalam industri.

“UBT juga adalah sebuah institusi pelajaran yang sangat menekankan tahap keselamatan pelajar dan kakitangan mereka. Oleh itu, kami ingin memberikan pengiktirafan kepada usaha mereka dengan  mencalonkan mereka bagi anugerah ini, yang pastinya akan memberi inspirasi kepada institusi pendidikan lain di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Noor Azam berkata, kerjasama yang terjalin bukan hanya memberi peluang berkongsi kepakaran dalam pengurusan keselamatan pekerjaan tetapi mengembangkan pendekatan inovatif dalam menyelesaikan masalah keselamatan serta kesihatan di tempat kerja yang semakin kompleks.

“UTM sangat teruja meneroka peluang untuk memperkukuh pendidikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui kerjasama ini selain melibatkan UBT dalam penyelidikan dan inovasi keselamatan serta kesihatan pekerjaan yang relevan untuk sektor industri dan pendidikan.

“Kerjasama ini membolehkan kami berkongsi kepakaran dan membangunkan penyelesaian yang lebih baik dalam mengurangkan risiko di tempat kerja. Kami berharap ia memberi manfaat kepada kedua-dua universiti serta sektor industri di Malaysia dan Arab Saudi,” katanya.

Dalam lawatan itu, agenda pengurusan visa pelajar antarabangsa turut dibincangkan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN