TANAH MERAH: Kementerian Pertahan (MINDEF) akan membawa isu pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Timbalannya Adly Zahari berkata, hal ini kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang turut menjaga keselamatan sempadan mempunyai pandangan tertentu berhubung perkara tersebut.
“Saya fikir perkara ini perlu diselaraskan melalui MKN. Melihat kepada kejayaan rampasan, berdasarkan maklumat yang telah sedia ada ini, langkah kehadapan dibawah MKN itu harus diputuskan.
“Dari sudut MINDEF menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kita akan laksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan itu,” katanya kepada pemberita selepas Program Veteran Desa Madani Peringkat Daerah Tanah Merah, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bechah Laut, di sini hari ini.
Adly memberitahu, penugasan ATM di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Jeli.
Katanya, ia meliputi 75 peratus kawasan sempadan bermula dari Pengkalan Kubor (Tumpat) sehingga ke Jeli.
“Kita ada 11 pos kawalan keselamatan di bawah tanggungjawab ATM. Dalam melancarkan penugasan kita sentiasa bertukar-tukar maklumat dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang turut mengawal keselamatan sempadan,” ujarnya.-UTUSAN