MIHAS Dubai catat jualan eksport RM500 juta hari pertama

MIHAS Dubai catat jualan eksport RM500 juta hari pertama

AHMAD Zahid Hamidi ketika melawat MIHAS 2024 di Dubai semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 yang julung kalinya diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) merekodkan kejayaan luar biasa dengan eksport RM500 juta pada hari pertama.

Pameran bersejarah bermula 18 hingga 20 November itu disasarkan mencatatkan RM1.2 bilion nilaian eksport keseluruhan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pameran bersejarah yang pertama kali diadakan di luar Malaysia, menunjukkan kesungguhan negara untuk mengantarabangsakan industri halal dan memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam ekonomi halal yang semakin berkembang.

Katanya, MIHAS@Dubai telah meningkatkan ekosistem halal Malaysia dengan menyediakan platform untuk 215 syarikat tempatan menonjolkan kecemerlangan dan kepelbagaian produk serta perkhidmatan halal buat semua pemain industri yang terlibat.

“Pameran ini membuka lembaran baharu bagi perniagaan Malaysia untuk menembusi pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) yang kini mencecah lebih 490 juta pengguna, seterusnya memupuk kerjasama yang bermakna dan mendorong pertumbuhan jangka panjang.

“Ia turut mencerminkan kepentingan Diplomasi Halal – yang terus memposisikan Malaysia sebagai rakan dagang yang bermakna dalam pasaran halal antarabangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, selain aspek perdagangan, MIHAS@Dubai mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai penyedia produk halal berkualiti tinggi, sekali gus menjadi pemangkin bagi kerjasama masa depan dan pembangunan ekonomi lebih besar.

Tambahan itu, katanya, hubungan perdagangan Malaysia dengan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kekal kukuh dan mencerminkan kerjasama ekonomi yang semakin berkembang antara kedua-dua rantau.

“Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2024 sahaja, jumlah perdagangan Malaysia dengan negara GCC berkembang sebanyak 1.8 peratus kepada RM87.30 bilion, berbanding tempoh yang sama pada 2023.

“Eksport meningkat sebanyak 7.1 peratus kepada RM21.77 bilion, didorong permintaan yang kukuh terhadap produk petroleum, logam, barang kemas, sementara import meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada RM65.53 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya