SEPANG: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan peningkatan jumlah hujan sebanyak 20 hingga 40 peratus di kawasan sempadan Malaysia-Thailand susulan fenomena Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, terdapat pergerakan angin yang membawa kelembapan tinggi di negeri-negeri utara tanah air dan Pantai Timur.
Katanya, ramalan tersebut adalah berdasarkan majoriti model cuaca di kawasan tersebut.
“Ramalan menjangkakan bakal berlakunya hujan yang lebih sedikit, antara 20 ke 40 peratus. Bagaimanapun, di Sabah tempohnya lebih panjang iaitu sehingga Februari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 bertempat di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, di sini hari ini.
Mohd. Hisham berkata, pola cuaca ketika MTL lazimnya mencapai kemuncak pada penghujung November sehingga awal Disember.
“Pada waktu ini, boleh dikatakan semua negeri di Pantai Timur termasuk Sabah dan Sarawak akan menerima hujan yang banyak.
“Negeri-negeri tersebut akan mengalami cuaca lembap beberapa hari, tapi hujan lebat yang biasanya dapat kita lihat ketika MTL masih belum nampak lagi dalam masa seminggu akan datang ini,” katanya.
Dari segi ombak pula, beliau berkata, nasihat turun ke laut terutama bagi nelayan bergantung kepada pihak berkuasa, manakala MetMalaysia hanya memberi nasihat.
“Dalam keadaan sekarang ini, angin timur laut belum lagi bertiup kencang. Keadaan ombak tak berbahaya lagi untuk aktiviti laut dan dari masa ke masa kita akan kemas kini maklumat,” katanya. -UTUSAN