Meter pintar lebih jimat, latih pengguna lebih bijak

Meter pintar lebih jimat, latih pengguna lebih bijak

KUPPUSAMY menunjukkan aplikasi myTNB yang disambungkan kepada meter pintar bertujuan memantau penggunaan elektrik harian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan meter pintar dalam pengurusan tenaga elektrik di rumah memberi lebih penjimatan selain melatih pengguna untuk menjadi lebih bijak.

Ini adalah kerana dengan teknologi itu, orang ramai boleh mengakses data penggunaan tenaga secara masa nyata, membolehkan mereka mengenal pasti trend penggunaan harian.

Seorang pengguna, Kuppusamy K. Rajamanikam, 42, berkata, perbezaan ketara dapat dilihat terutama dalam pengeluaran bil.
Katanya yang tinggal di Pangsapuri Putra Laksamana, Batu Caves dekat sini, sejak penukaran meter itu enam bulan lalu, jumlah bil yang perlu dibayar menunjukkan penurunan signifikan sekali gus membantu dalam mengurangkan perbelanjaan untuk bil utiliti.

“Perbezaan yang saya nampak adalah bil menjadi lebih murah. Kalau dulu boleh mencecah lebih RM200 sebulan, tetapi sekarang bil kira-kira RM100 sebulan.

“Apabila bil menjadi lebih murah, ia banyak membantu saya dalam memastikan pebelanjaan sentiasa berada dalam bajet bulanan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Meter pintar adalah peranti yang merekodkan penggunaan elektrik secara automatik sebelum data itu dihantar kepada TNB melalui gelombang frekuensi radio bertujuan pemantauan dan penyediaan bil.

meter pintar
METER pintar Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan data pengambilan tenaga harian kepada pengguna secara lebih tepat menerusi aplikasi myTNB.

Peranti itu merekodkan penggunaan tenaga harian dan memastikan bil yang lebih tepat, menyokong masa depan yang lebih bijak, hijau dan cekap tenaga.

Pada 2023, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya memasang sejumlah 873,740 unit meter pintar, menjadikannya melepasi sasaran 600,000 unit pemasangan.

Kejayaan tersebut menjadikan keseluruhan unit pemasangan melebihi 3.5 juta meter pintar meliputi kawasan Lembah Klang, Melaka, Kedah, Johor dan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, kata Kuppusamy, penggunaan aplikasi khas TNB turut memudahkan pembayaran bil.

Katanya, dengan servis secara atas talian yang disediakan, bayaran boleh dilakukan dengan mudah di mana-mana sahaja.
“Bagi saya paling susah adalah semasa membayar bil. Kita kena tunggu sebab beratur panjang dekat kaunter.

“Tetapi sekarang sebab sudah ada aplikasi, jadi saya bayar secara atas talian sahaja. Lebih senang, dekat mana-mana pun boleh buat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, Sarah Abdul Rahim, 46, berkata, pemasangan meter pintar tersebut memberikan penjimatan dengan pemantauan terhadap penggunaan elektrik harian.

SARAH ABDUL RAHIM

Katanya yang juga kerap menggunakan pendingin hawa, kelebihan bacaan meter yang lebih tepat itu melatihnya untuk lebih cermat menggunakan tenaga.

“Saya boleh dikategorikan pengguna pendingin hawa yang kerap dan penjimatan ini amat ketara. Bacaan meter juga lebih tepat berbanding meter sebelumnya.

“Ia memudahkan saya untuk membuat pemantauan jumlah tenaga yang telah digunakan,” katanya yang tinggal di Apartment Kelompok Embun Emas, Ampang.

Tambah beliau, ciri yang membenarkan pemantauan itu menjadikan bil elektrik lebih mudah dirancang.

Katanya, ia bagi memastikan jumlah yang perlu dibayar pada setiap bulan sentiasa terkawal
dan berada pada bajet ditetapkan.

“Pembaharuan itu membuatkan pengguna menjadi lebih bijak dalam menggunakan elektrik. Kita akan lebih cermat dan juga bertanggungjawab.

“Pada pendapat saya meter ini sangat memberi manfaat kepada pengguna terutama ke arah penjimatan di samping dapat memberi kemudahan pembayaran bil mahupun pemantauan penggunaan elektrik,” katanya.

Bagi meluaskan manfaat meter pintar ini, TNB merangka untuk memasang lebih banyak meter pintar ke kediaman-kediaman pengguna di Semenanjung dalam tempoh kawal selia seterusnya (2025-2027). Dengan sokongan padu daripada Kerajaan, meter pintar ini akan dapat dinikmati oleh semua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN