PETALING JAYA: Tidak sanggup melihat empat orang kanak-kanak hidup melarat, pelakon, Norish Karman, tekad menjadikan mereka anak angkat.
Jelas Norish, keputusan itu diambil sejak 2020 ketika dihubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat yang pada awalnya meminta bantuannya untuk menjaga empat anak tersebut.
“Suaminya sudah tiada kerana bercerai manakala ibu mereka ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara kerana penyalahgunaan dadah.
“Lepas mendapat panggilan pagi itu, semua solat dan zikir saya lakukan sebab berfikir sama ada mahu ambil mereka atau tidak.
“Kemudian anak-anak saya kata, ‘tolonglah ambil mereka bonda, yang lain-lain kita fikirkan kemudian. Rezeki datang daripada Allah’,” katanya menerusi sebuah audiosiar yang tular.
Bercerita lanjut mengenai perkara tersebut, pelakon Spa Q turut mengimbau momen pertama bertemu empat beradik itu di sebuah Felda yang terletak di Kuala Kempis, Negeri Sembilan.
“Kami memandu empat jam ke Kuala Kempis, Negeri Sembilan. Lokasinya di sebuah Felda dalam hutan.
“Mereka belum makan dan saya sampai hampir pukul sembilan malam. Sijil kelahiran mereka ditinggalkan lalu saya pun bawa balik mereka.
“Ketika dalam perjalanan saya fikir macam-macam seperti ‘kalau polis tahan aku ini masak, mereka mesti kata aku menculik’.
“Saya tak rasa diri saya baik tetapi saya rasakan anak-anak ini memerlukan seorang ibu,” jelasnya yang sudah mendapat Sijil Pengiktirafan Sah pada Jun, 2020.
Sepanjang membesarkan empat orang anak angkatnya ini, Norish tidak pernah menyembunyikan identiti sebenar mereka.
“Saya tak pernah berbohong kepada mereka melainkan yang kecil, dia belum tahu apa-apa.
“Tetapi yang tiga lagi saya katakan kepada mereka, mereka perlu tahu dari mana asal usul supaya mereka tidak lupa.
“Namun kami semua tidak pernah kisah dari mana asal usul mereka, yang penting siapa mereka suatu hari nanti,” jelasnya.
Untuk info, Norish Karman pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir namun bercerai pada 15 Julai 2008.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat anak kandung iaitu Muhammad Haqiem Amany, 25, Muhammad Hady Amieran, 21, Nur Hanyz Amanda, 20, dan Haq Alexander, 13.
Manakala, empat anak angkatnya ialah Hasbi Fadullah, 13, Hasya Farahiya,11, Haziq Fadillah, 10, dan Hazra Farisya, 5. -UTUSAN