KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 6 Februari ini untuk keputusan permohonan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang untuk menentukan sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat di sini hari ini.
Pada 14 Jun lalu, pengarah filem itu, Mohd. Khairianwar Jailani, 32, dan penerbitnya, Tan Meng Kheng, 37, dibenarkan untuk merujuk kepada Mahkamah Tinggi berhubung keabsahan seksyen tersebut yang didakwa menyekat hak kebebasan bersuara.
Mereka juga memohon Mahkamah Tinggi menentukan sama ada frasa melukakan perasaan agama seseorang, iaitu berkaitan unsur dalam kesalahan seksyen berkenaan, melanggar hak bagi perbicaraan adil kerana tidak sah dan tidak jelas.
Sekiranya mahkamah berpihak kepada mereka, pertuduhan yang dihadapi oleh pengarah dan penerbit itu boleh digugurkan.
Terdahulu, peguam N. Surendran yang mewakili Mohd. Khairianwar dan Meng Kheng menyatakan, Seksyen 289 adalah satu undang-undang lapuk dan bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai kebebasan untuk bersuara dan memberikan pendapat.
Tambahnya, intipati pertuduhan yang menyatakan “melukakan perasaan agama orang lain” adalah terlalu kabur kerana bertentangan dengan Perkara 5 (kebebasan diri) dan Perkara 8 (kesamarataan) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob ketika berhujah menyatakan hanya kerana Seksyen 298 Kanun Keseksaan merupakan satu undang-undang sebelum Merdeka, ia tidak menjadikan seksyen itu terbatal.
Selain itu, Abdul Malik menyatakan, permohonan yang dikemukakan oleh pengarah dan penerbit Mentega Terbang itu juga tiada berasas kerana tiada dalam mana-mana bahagian seksyen berkenaan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pada 17 Januari lalu, Mohd. Khairianwar dan Meng Kheng didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan didakwa sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek dalam penglihatan orang, dengan berperanan sebagai pengarah, penulis skrip dan penerbit Mentega Terbang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Semarak Api 2, di sini, pada jam 12.34 tengah hari 26 Februari 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan filem itu pada 1 September tahun lalu, yang mana kedua-dua lelaki terbabit mendakwa ia satu tindakan tidak rasional yang melanggar kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN