JOHOR BAHRU: Gara-gara menegur bunyi ekzos kereta yang bising, seorang pesara tentera diserang seorang lelaki menggunakan cota sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian tangan kirinya.
Menurut mangsa yang mahu dikenali sebagai Hamid, 54, kejadian berlaku pada pukul 11.40 malam kelmarin apabila ekzos kereta jirannya itu terlalu kuat dan bising sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan mengganggu ketenteraman jiran-jiran.
“Lelaki itu melenting apabila ditegur dan bertindak agresif dengan menolak saya. Dia juga mengamuk dan mencapai cota serta mengugut jangan masuk campur urusannya.
“Perselisihan faham itu berlarutan menyebabkan lelaki itu menghayun cota ke arah kepala, namun saya sempat mengelak, bagaimanapun pukulan itu terkena tangan kiri,” katanya, di sini hari ini.
Lelaki berkenaan juga mengugut mahu menyerangnya bersama-sama sekumpulan lelaki dan bimbang dengan keselamatan keluarga, mangsa membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam semalam.
Baru-baru ini, tular hantaran dalam aplikasi TikTok oleh seorang wanita dikenali sebagai Suhadah (@suhadah.99) berkongsi situasi cemas yang berlaku di hadapan rumahnya dipercayai di kawasan Taman Rinting, Masai, dekat sini.
Dalam rakaman itu, kelihatan seorang lelaki sedang menghayun cota dan menimbulkan kekecohan di hadapan sebuah rumah yang didakwa mengamuk selepas ditegur oleh ayahnya kerana tindakannya membuat bising di kawasan perumahan itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan menerima laporan seorang lelaki mendakwa diserang oleh seorang individu yang tidak berpuas hati kerana ditegur susulan bunyi ekzos kereta yang bising.
“Pada pukul 4.10 petang semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seri Alam telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berumur 26 tahun di kawasan Masai dan merampas sebatang kayu,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN