MELAKA: Kerajaan negeri menarik semula Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk kepada Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali berkuat kuasa serta merta.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad berkata, nama individu itu telah dikeluarkan daripada Senarai Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2024.
Kata beliau, penarikan darjah kebesaran itu selaras dengan kuasa prerogatif Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dalam Perkara 34B, Bahagian IV, Perlembagaan Negeri Melaka.
“Yang Dipertua Negeri Melaka setelah mendapat nasihat daripada Ketua Menteri (Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh) telah mengarahkan DPSM yang membawa gelaran Datuk kepada Nasiruddin dianugerahkan pada 25 Ogos lalu ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
“Oleh yang demikian, Nasiruddin tidak dibenarkan mengguna pakai gelaran tersebut dan beliau dikehendaki memulangkan semula darjah kebesaran itu kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Mufti Melaka melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang berlangsung 3 Oktober lalu memutuskan GISBH sesat kerana mempunyai persamaan dengan Al-Arqam.
Selain itu, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) minggu lalu turut mengesahkan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh GISBH adalah sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.
Nasiruddin bersama beberapa individu termasuk kepemimpinan tertinggi GISBH didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada 23 Oktober lalu atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang. – UTUSAN