MELAKA: Naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC diakui memiliki kehebatan tersendiri, namun Melaka FC bertekad tidak akan memberi laluan mudah.
Kedua-dua pasukan itu akan bertemu dalam saingan 16 pasukan Piala Malaysia, yang mana Melaka FC menanti kedatangan Terengganu FC di Stadium Hang Jebat di sini, esok.
Jurulatih Melaka FC, K. Devan berkata, persiapan menghadapi lawan dilakukan cukup rapi biarpun menyedari barisan pemain mudanya tidak setanding dengan lawan yang memiliki lima pemain kebangsaan.
“Kita menghormati kelebihan milik skuad penyu, ini tidak bermakna kesebelasan utama yang akan diturunkan Sabtu ini akan memberi ruang kepada mereka untuk mencipta jaringan.
“Kehadiran dua pemain import baharu, Rodrigue Nanitelamio, 28, dari Perancis dan Oumar Banggoura, 20, dari Guinea dapat memantapkan skuad sang kancil untuk mengekang daripada lawan meraih kemenangan pertama.
“Atas padang Terengganu adalah pasukan pilihan, mereka ada lima pemain kebangsaan seperti Safawi Rashid dan Azam Azmi serta kualiti pemain import, Manuel Gelito Ott, Clayton Da Silviera dan Nelson Bonilla Sanchez,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Devan, Melaka FC rela dilabelkan sebagai ‘underdog’, namun akan berusaha mempamerkan aksi terbaik bagi mengutip kemenangan pertama sebagai bekalan untuk aksi kedua di tempat lawan.
Ujarnya, berdasarkan kemenangan 7-0 ke atas Harini FC dan Manjung FC dalam saingan Liga A1 baru-baru ini, ia membuktikan pasukannya tidak akan memberi laluan mudah.
“Kelebihan bermain di tempat sendiri harus dimanfaatkan oleh pemain saya dan jangan hirau dengan kehebatan Terengganu,” ujarnya. – UTUSAN