KAJANG: Seorang mekanik didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memaki jurutol dan menendang dinding kaunter plaza tol, Ahad lalu.
Majistret Nurul Hafzan Ab. Aziz membuat keputusan itu selepas Abdul Rahim Ramlan, 31, yang didakwa sebagai Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh perlu dipenjara sehari.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan perkataan yang kurang sopan terhadap jurutol, Ridwana Umairah Mahadi, 22, dengan tujuan mengganggu keamanan di Lorong Tol T22, Plaza Tol Batu 9, Taman Cuepacs, Cheras dekat Hulu Langat, pada pukul 1.38 pagi, 3 November lalu.
OKS didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM100.
Terdahulu, Abdul Rahim yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberi hukuman yang ringan manakala Timbalan Pendakwa Raya, K. S Rinisha Priya mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Pada 5 November lalu, lelaki tersebut ditahan selepas polis mengesan video kejadian itu yang tular di aplikasi Facebook.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, menerusi keterangan pengadu, suspek bertindak sedemikian setelah ditegur kerana mengetuk tempat kad Touch ‘n Go dengan kuat semasa menggunakannya.
Katanya, hasil pemeriksaan ujian air kencing suspek adalah positif dadah jenis methamphetamine dan semakan mendapati suspek mempunyai 17 rekod jenayah lampau. – UTUSAN