PETALING JAYA: Tiada kawalan ketat oleh pengendali media sosial menjadikan platform itu sebagai lubuk aktiviti pedolia yang menyasarkan kanak-kanak dan remaja yang naif tentang keselamatan diri sebagai mangsa.
Dengan kemudahan komunikasi dan kebolehcapaian yang tinggi, penjenayah ini berupaya menyamar sebagai individu yang boleh dipercayai dalam membina hubungan dan memanipulasi mangsa dengan mudah.
Penganalisis jenayah, Kamal Afandi Hashim berkata, selain media sosial, permainan dalam talian juga menjadi lubuk terpenting bagi penjenayah tersebut untuk memuaskan nafsu mereka.
“Pada awalnya penjenayah ini bermain permainan dalam talian bersama mangsa, kemudian memintanya untuk menghantar beberapa gambar sebagai permulaan ‘berkawan’.
“Lama-kelamaan suspek mula ‘naik tanduk’ dengan meminta gambar bogel mangsa dan akan mengugut untuk memberitahu ibu bapa yang dia telah berkongsi gambar jelik itu kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Selain itu, golongan pedofil sanggup mengubah tangkap layar gambar kanak-kanak menjadi ‘objek’ bogel menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) semata-mata mahu memenuhi kehendak jelik mereka.
Pakar sekuriti siber dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr. Shafiza Mohd. Shariff pula berkata, sehubungan itu, pembangun media sosial harus menetapkan peraturan untuk tidak membenarkan melakukan tangkap layar mana-mana gambar pengguna.
“Bimbang apabila gambar anak-anak kita dijadikan pemuas nafsu mereka dan beberapa tahun kemudian ia menjadi jejak digital yang boleh ditimbulkan semula oleh pengguna lain.
“Ia bakal memberi kesan besar kepada mangsa terutama kanak-kanak dan akan membantutkan kesihatan mental mereka apabila gambar yang asal diubah menjadi gambar bogel ‘segar’ dalam ingatan mereka yang melihat,” katanya.
Tambahnya, sebelum membuat sebarang hantaran gambar di media sosial, pengguna harus memastikan ia tidak menimbulkan apa-apa yang boleh menunjukkan butiran peribadi dan keluarga.
“Seperti gambar anak memakai pakaian seragam sekolah yang menunjukkan logo sekolah atau nombor plat kenderaan. Pastikan ia dikaburkan terlebih dahulu sebelum membuat hantaran.
“Ini berikutan pedofil akan membuat segala pencarian berkaitan kanak-kanak untuk dijadikan mangsa mereka, termasuk mencari nama yang terdapat profil media sosial individu tersebut,” katanya.
Turut senada, Timbalan Pengerusi Kumpulan Kerja Keselamatan, Amanah dan Privasi, Malaysian Technical Standard Forum Berhad (MTFSB), Prof. Dr. Shahrulniza Musa berkata, ibu bapa harus mendidik anak-anak sebelum mereka mula menggunakan media sosial.
“Sebahagian daripada masalah mungkin berpunca daripada kurangnya pengawasan ibu bapa, tetapi ia bukanlah satu-satunya faktor. Pendidikan dan kesedaran tentang keselamatan siber juga memerlukan peranan sekolah dan masyarakat.
“Selain itu, platform media sosial juga perlu bertanggungjawab dengan menyediakan alat dan panduan keselamatan yang berkesan untuk pengguna muda,” katanya.
Menurutnya, semua pihak termasuk kerajaan, syarikat teknologi dan komuniti perlu bekerjasama untuk menjadikan internet tempat yang lebih selamat.
Sementara itu, di Kuala Lumpur, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak akan berkompromi lagi dengan Meta terutamanya melibatkan jenayah penipuan (scammer) dan pedofilia yang semakin berleluasa di media sosial.
Menurutnya, hasil perbincangan bersama Meta petang kelmarin, jenayah melibatkan pedofilia masih gagal ditangani pihak tersebut dan kerajaan juga tidak boleh lagi memberi masa kepada Meta.
“Pihak Meta ada minta kerajaan untuk berikan lagi masa, tapi kita sudah tidak boleh tunggu, dan tidak boleh berkompromi lagi.
“Kita sudah bertemu dengan Meta dari awal tahun lagi dan dakwaan mengatakan kita tidak pernah berjumpa dengan Meta berhubung isu ini adalah tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar sempena Rumah Terbuka Deepavali Madani di Sentul Depot di sini, semalam.
Tambah Fahmi, pihak Meta kerap memberi pelbagai alasan dan tidak mengambil tindakan kepada penjenayah ini.
“Dia dah tahu dah saya dah turun ke Singapura bincang dengan mereka.Meta akan bagi macam-macam alasan tapi bagi saya keselamatan rakyat Malaysia terutama kanak-kanak dan keluarga tidak boleh kita kompromi,” tegasnya.
Kelmarin, dalam pertemuannya dengan Meta, Fahmi berkata, beliau telah menegur pihak tersebut kerana masih gagal menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming) khususnya di platform Facebook.
“Meta perlu jauh lebih proaktif dalam membanteras kumpulan-kumpulan di akaun media sosial Meta yang menjurus kepada aktiviti jenayah seksual tersebut,” katanya.
Pihak Meta turut menyuarakan pandangan mengenai pematuhan yang perlu dipenuhi untuk melaksanakan syarat-syarat ditetapkan, termasuk Kod Tatalaku dan Akta Keselamatan Dalam Talian belum mereka teliti sepenuhnya.
“Saya telah mengingatkan Meta bahawa niat kerajaan mengenakan lesen ini adalah untuk menangani isu jenayah yang berhijrah ke media sosial, termasuk jenayah penipuan, judi dalam talian, buli siber, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Namun, saya memberi komitmen untuk mendengar pandangan semua platform media sosial, memandangkan lesen yang bakal dikenakan adalah lesen kelas (class license),” katanya.
Selain itu, lesen berkenaan dikenakan kepada semua platform yang memenuhi syarat-syarat termasuk yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia.
Beliau berkata, pihak Meta telah bersetuju untuk menyediakan maklum balas kepada draf Kod Tatalaku yang telah diterbitkan pada 22 Oktober lepas dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada awal minggu depan untuk meneliti beberapa aspek dengan lebih terperinci. – UTUSAN