HATYAI, THAILAND: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalin kerjasama strategik bersama Hatyai Municipality dalam usaha menarik pelancong dari Selatan Thailand untuk menjadikan Ipoh sebagai pilihan destinasi kunjungan mereka.
Ahli Majlis MBI, Muhammad Hamzah Md Hamdan berkata, Ipoh mempunyai pelbagai tarikan menarik dan unik termasuk deretan bangunan kolonial yang berusia ratusan tahun untuk dilawati.
“Keistimewaan lain yang dimiliki Ipoh adalah keunikan makanan tempatan, yang menjadi tarikan utama bagi pelancong luar, ramai daripada mereka hanya ingin menikmati pelbagai hidangan khas yang ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum Majlis Muhibbah Media Perak dan Selatan Thailand dalam mempromosi industri pelancongan dua hal yang disertai 39 wakil media dan MBI di Songkhla, Thailand baru-baru ini.
Hadir sama Senator Wilayah Songkla merangkap Presiden Persatuan Media Selatan Thailand, Chaiyong Maneerungsakul dan Timbalan Datuk Bandar Hatyai, Sumrit Boonrat.
Perbincangan melibatkan kerjasama dua hala antara MBI dan Hatyai City Municipality.
Muhammad Hamzah berkata, terdapat pelbagai aspek yang dapat mendorong pelancong dari selatan Thailand ke Ipoh, namun kekangan yang wujud perlu diatasi terlebih dahulu.
“Antara maklum balas dari pihak Hatyai Municipality adalah akses masuk ke negara kita agak sukar berikutan terlalu banyak sekatan keselamatan.
“Mereka memang berminat untuk bercuti ke negeri kita namun sekatan keselamatan menjadikan mereka rasa tidak selesa,” katanya.
Menurutnya, sehubungan itu pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa negeri berkaitan isu tersebut.
“Saya telah menghubungi Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri sebaik sahaja mendengar pandangan daripada pihak Hatyai Municipality berkaitan isu penguatkuasaan undang-undang.
“Mungkin kita akan adakan perjumpaan bersama pihak berkuasa negeri Perak dalam masa terdekat,” katanya.
Ujarnya, fokus utama forum itu adalah mengenai perkongsian pengalaman dan potensi kerjasama dalam bidang pelancongan antara kedua-dua bandaraya tersebut.
“Saya harap perbincangan ini dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Thailand, terutamanya dalam memajukan sektor pelancongan dan ekonomi kedua-dua kawasan,” katanya. – UTUSAN