Mayat Nur Arina ditemukan di Sungai Rui - Utusan Malaysia

Mayat Nur Arina ditemukan di Sungai Rui

PASUKAN penyelamat menemukan mayat mangsa lemas, Nur Arina Azizan di Sungai Rui, Gerik hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Air Beruk, Kampung Padang Stang di sini kelmarin, berakhir dengan penemuan mayat mangsa.

Mayat Nur Arina Azizan, 20, ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 4 petang selepas hampir 50 jam dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dijumpai di Sungai Rui pada jarak tujuh kilometer (KM) dari lokasi dia dihanyutkan arus di Sungai Air Beruk.

Katanya, mangsa dijumpai tersangkut pada dahan pokok di dalam air berhampiran tebing sungai.

“Mayat mangsa kemudian dibawa naik ke jeti terdekat di Kampung Dusun sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi yang memasuki hari ketiga itu ditamatkan pada pukul 5.30 petang,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Sabarodzi berkata, usaha pencarian yang disambung pada pukul 8 pagi hari ini dipecahkan kepada 13 sektor di sepanjang sungai bermula daripada Sungai Beruk sehingga ke Dataran Loma.

Katanya, kesemua anggota pasukan penyelamat termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan agensi bantuan lain dengan bot masing-masing diatur gerak membuat pencarian di semua sektor manakala dua bot lagi ditugaskan untuk membuat pencarian di sekitar Sungai Perak.

“Anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) juga membuat selaman di sekitar kawasan yang disyaki mangsa berada sebelum wanita itu dijumpai pada pukul 4 petang tadi,” katanya.

Operasi dengan kekuatan 58 anggota itu disertai pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, K9 bomba, PPDA, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dalam kejadian sekitar pukul 2.30 petang kelmarin, Nur Arina dihanyutkan arus deras ketika bermain pelampung bersama adik perempuan dan ibunya serta dua sepupu di Sungai Air Beruk, di sini.

Difahamkan, pelampung dinaiki mangsa berpisah dengan yang lain sebelum dia bertindak turun dari pelampung lalu dihanyutkan arus deras.

Ibu mangsa berusia 48 tahun yang cuba membantu wanita itu turut dibawa arus namun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya