KUALA LUMPUR: Bas ekspres yang menyebabkan seorang remaja lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bmbitnya didapati tidak mempunyai pendawaian elektrik yang teratur.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pasukan petugas khas mendapati sambungan pendawaian dari keluaran kota pengagihan (DB) ke pendawaian soket bas tersebut dipasang secara terbalik.
Kata beliau, penggunaan kelengkapan elektrik yang digunakan dalam bas itu juga tidak memenuhi standard piawaian barangan ditetapkan.
Malah, jelasnya, pasukan tersebut turut mendapati bahawa pemasangan pendawaian elektrik bas dilakukan oleh pihak yang tidak bertauliah oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Bas ini baru lagi, jadi apa yang dikenal pasti oleh pasukan petugas khas (adalah) bas itu ada pendawaian yang tidak teratur menyebabkan ia tidak selamat. Dia punya input dengan output tersilap (dan) terbaik) (hingga) menyebabkan voltan tinggi dikeluarkan melalui soket, voltan itu mengalir ke badan mangsa (lalu) menyebabkan kematian tersebut berlaku.
“Jadi itu yang kita kenal pasti bahawa antara punca insiden ini berlaku, ini perlu disusuli dengan laporan penuh oleh pasukan petugas khas yang akan mengambil masa lebih panjang,” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Media, Bangunan Parlimen, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, seorang remaja lelaki maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya di soket bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral pada 1 November lalu
Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, ketika itu menaiki bas berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Susulan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) menubuhkan pasukan petugas khas yang diberi masa selama 14 hari untuk menyiapkan laporan awal dan menggantung serta-merta operasi bas terbabit.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, walaupun komponen struktur bas mematuhi pelan teknikal yang diluluskan dan telah lulus pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) pada 20 Mei lalu, namun aspek keselamatan pendawaian elektrik perlu diberi perhatian segera.
“Ini adalah kerana bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” katanya.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, MOT menyusun langkah penambahbaikan untuk memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan yang lebih ketat dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang risiko yang membahayakan keselamatan pengguna dan mencegah kejadian serupa berlaku di masa hadapan.
Jelasnya ia turut termasuk penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap aspek pendawaian elektrik dan kelengkapan berkaitan dalam kenderaan.
“Susulan daripada insiden ini, satu garis panduan yang lebih menyeluruh berkenaan pendawaian elektrik dalam bas diperlukan, ini sesuatu yang kita kenal pasti bahawa ada kelompongan.’Sebelum ini memang tidak ada syarat untuk bas mengikut piawaian pendawaian elektrik.
“Garis panduan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk dibangunkan kerana ia melibatkan perubahan prosedur, perlu ada (perbincangan) dengan pemegang taruh dan membuat perubahan dari segi peraturan serta perundangan,” jelasnya.-UTUSAN