BUKIT MERTAJAM : Polis menahan seorang pemandu treler warga tempatan susulan kemalangan membabitkan lima kenderaan sehingga menyebabkan seorang wanita maut di Jalan Kebun Sireh di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pemandu treler berusia 51 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.
“Saringan awal ujian ‘urine’ (air kencing) dan alkohol telah dilakukan ke atas pemandu terbabit, namun, didapati negatif.
“Justeru, permohonan tahanan reman ke atas pemandu treler akan dipohon di hadapan Majistret Mahkamah Bukit Mertajam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini, hari ini.
Selain meragut satu nyawa, kemalangan kira-kira pukul 9.30 pagi itu melibatkan sebuah treler kontena, lima kereta dan sebuah lori itu turut mencederakan seorang lelaki.
Helmi berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku semasa kesemua lima buah kereta dan sebuah lori dari Jalan Kebun Sireh itu sedang berhenti di lampu isyarat simpang tiga di Jalan Bukit Tengah.
“Sebuah treler kontena dari Jalan Bukit Tengah secara tiba-tiba datang dan membelok ke kiri memasuki Jalan Kebun Sireh. Treler itu hilang kawalan sehingga muatan kontena yang dibawanya menghempap dua kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat terbabit.
“Dua kenderaan yang dihempap treler berkenaan telah bergerak ke belakang dan berlanggar dengan tiga buah kereta lain dan sebuah lori.
“Seorang pemandu wanita berusia 21 tahun disahkan meninggal di tempat kejadian manakala seorang lagi pemandu kereta yang mengalami kecederaan menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan treler dari arah bertentangan membelok sehingga menyebabkan muatan kontena menghempap deretan kenderaan yang berhenti di lampu isyarat.-UTUSAN