IPOH: Reformasi tatakelola dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) tiada kaitan dengan politik kononnya Parti Amanah Negara (Amanah) mahu menyingkirkan UMNO daripada pertubuhan tersebut.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau sendiri ada berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung tindakan terhadap Nafas.
Katanya, Ahmad Zahid menyokong tindakan tersebut dan malah menamakan beberapa individu di dalam pertubuhan tersebut.
“Sebelum hendak bertindak terhadap Nafas ini, saya jumpa dulu Datuk Seri Zahid Hamidi. Saya tahu isu yang akan dimainkan kononnya Amanah akan mengambil alih Nafas dan membuang UMNO.
“Saya jumpa Datuk Seri Zahid Hamidi dan saya kata, Datuk Seri, Nafas yang kita bertindak ini tiada kena mengena dengan politik. Dia kata, Pak Mat saya sokong penuh. Dia pula namakan pemimpin Nafas yang tak guna itu,” katanya semasa berucap dalam konvensyen Amanah Perak di sini, hari ini.
Bermula 1 November lalu, Perlembagaan Nafas digantung susulan dakwaan berkaitan kepincangan urus tadbirnya sehingga mengundang siasatan oleh pihak berkuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan, siasatan terhadap Nafas berhubung dakwaan penglibatan kartel dalam pengedaran dan pembekalan kontrak baja padi perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mengulas lanjut semasa sidang akhbar, Mohamad menjelaskan mengapa beliau membangkitkan perkara itu adalah kerana terdapat spekulasi kononnya Amanah mahu menguasai Nafas dan membuang orang-orang UMNO.
“Sebab itu saya memberitahu Datuk Zahid dan beliau bersetuju 100 peratus. Tiada kena mengena dengan parti politik. Dia pun setuju dan dia sebut pula nama-nama orang yang saya tidak mahu sebut di sini. Itu serah kepada SPRM. Bukan untuk kita menghukum sesiapa tanpa maklumat yang jelas,” katanya.
Mohamad enggan menuduh pentadbiran kerajaan terdahulu berhubung konflik Nafas, dan menjelaskan pertubuhan itu juga pernah digantung sebanyak dua kali yang mana kali pertama sewaktu Kementerian Pertanian diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemudian, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
“Kali ini yang ketiga. Tetapi yang ketiga ini prosesnya panjang dan komprehensif. Sekali gus dengan membuat struktur baharu dalam Nafas,” katanya. – UTUSAN