Masjid Tuan Hussein digenangi air kali keempat tahun ini

Masjid Tuan Hussein digenangi air kali keempat tahun ini

AHLI Jawatankuasa masjid bersama sukarelawan mengusung jemaah menggunakan takungan air bagi membolehkan mereka menunaikan solat Jumaat di Masjid Tuan Hussein di Titi Gajah, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Banjir yang melanda negeri ini berikutan hujan lebat beberapa hari lalu, turut menyebabkan pekarangan Masjid Tuan Hussein di Titi Gajah di sini, dinaiki air buat kali keempat pada tahun ini.

Meskipun keadaan kali ini lebih teruk berbanding tiga kali sebelumnya, lebih 200 jemaah tetap hadir ke masjid  untuk menunaikan solat Jumaat. 

Setiausaha masjid, Musa Bari, 63, berkata, dalam  kalangan penduduk setempat tetap hadir  menunaikan kewajipan  walaupun rumah mereka juga digenangi air sejak semalam. 

“Bagi memudahkan pergerakan warga emas dan kanak-kanak, ahli jawatankuasa masjid menyediakan dua takungan air untuk dijadikan ‘kenderaan’ bagi membawa mereka ke ruang solat masjid yang tidak dimasuki air.  

“Salah satu takungan itu turut dipasang roda bagi membolehkannya terus bergerak di daratan agar golongan berkenaan tidak dibasahi air apabila sampai ke gigi air.

“Setelah selesai solat, kami  menggunakan kaedah sama untuk membantu jemaah keluar. Kebetulan terdapat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di situ dan mereka turut menggunakan sampan milik agensi tersebut untuk membantu membawa keluar jemaah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Kata beliau, banjir kali ini lebih teruk apabila mencecah ketinggian satu meter berbanding cuma 0.5 meter dalam tiga gelombang sebelum ini. 

“Keadaan itu menyebabkan lebih banyak peralatan masjid termasuk sofa di pejabat rosak. Sebelum ini kerugian dianggarkan mencecah RM10,000 tetapi kali ini, jumlah kerugian dijangka lebih besar. Mujur air masih tidak masuk ke ruang solat,” katanya.  

Tambahnya, air mula bergenang di sekitar kawasan masjid sejak Subuh semalam setelah Sungai Anak Bukit yang terletak di belakang rumah ibadat itu mula melimpah. 

“Air naik sedikit demi sedikit sebelum memenuhi kawasan masjid menjelang malam. Ketika waktu solat tadi, dianggarkan paras air hanya kira-kira enam inci saja lagi untuk masuk ke ruang solat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya