ALOR GAJAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pengurus kilang, Mokthar Othman, 61, yang dipercayai lemas kerana tergelincir di Sungai Pengkalan, Taman Persisiran Sungai di sini diteruskan masuk hari kedua hari ini, dengan lebih intensif membabitkan radius pencarian sejauh lima kilometer.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, jumlah anggota turut ditambah selepas operasi sepanjang malam semalam tidak menjumpai sebarang petunjuk.
Ujarnya, bantuan anjing pengesan Unit K9 turut digunakan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan `orang yang hilang’ berada di tempat lain.
“Hari ini pencarian oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) juga akan lebih jauh dari semalam.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan orang yang hilang berada di tempat lain. Pencarian di sini adalah berdasarkan beberapa petunjuk fizikal seperti selipar di tebing dan rakaman video kamera papan pemuka kereta mangsa,” katanya.
Semalam, Mokthar dilaporkan dikhuatiri lemas akibat tergelincir ketika ingin membuang air di Sungai Pengkalan selepas tandas awam yang dimasukinya berkunci dari dalam.
Panggilan kecemasan diterima JBPM daripada ahli keluarga mangsa pukul 5.39 pagi memaklumkan, warga emas itu hilang dan dipercayai terkunci dalam tandas awam di sungai berkenaan, kerana keretanya berada di lokasi itu.
Mangsa dikatakan memberitahu isterinya bahawa dia mengalami sakit perut, sebelum keluar seorang diri untuk membeli makanan kira-kira pukul 1.50 pagi.
Dalam pada itu, kira-kira 50 ahli keluarga Mokthar membuat bacaan Surah Yasin di lokasi sejak awal pagi tadi sambil menunggu perkembangan operasi. – UTUSAN