KUALA LUMPUR: Pemansuhan pembelajaran berorientasikan peperiksaan terhadap murid bertujuan mengurangkan tekanan sedia ada selain dapat memperkukuh pembangunan pendidikan di sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil pendekatan agar tumpuan pembelajaran di sekolah berasaskan pertanyaan, eksplorasi, pengalaman, mengikut konteks serta pentaksiran yang sepenuhnya bagi melihat kepada pembangunan murid secara menyeluruh.
“Pentaksiran bilik darjah ini memberi satu tanda aras lebih baik khususnya untuk melihat dan menilai anak-anak lebih holistik melibatkan komponen pentaksiran bilik darjah, jasmani, sukan, kurikulum dan juga psikometrik serta kecenderungan murid.
“Pendekatan yang kita ambil untuk memastikan tiada lagi tumpuan diberikan kepada orientasi peperiksaan dan mengurangkan tekanan mereka, sebaliknya menawarkan satu ekosistem pembelajaran jauh lebih menarik,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) sama ada KPM bersedia mengkaji semula bidang kurikulum persekolahan bagi mengurangkan tekanan akademik dalam kalangan murid. – UTUSAN