Mamat Khalid boleh buat, kenapa yang lain tidak? - Utusan Malaysia

Mamat Khalid boleh buat, kenapa yang lain tidak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA filem cuba menggugah pola fikir atau hadir dalam metafora yang membuatkan kita perlu bijak mentafsir. Namun begitu, mengapa sebahagian naskhah dengan matlamat serupa tidak berhujung nasib yang sama?

Ada filem dengan parodi dan satira begitu mudah diterima khalayak, dibahas, menjadi bualan di meja makan sedangkan sebahagian lain dicemuh, dianggap biadab sehingga mencetuskan provokasi melampau melihat kepada nasib beberapa filem seperti La Luna dan Mentega Terbang.

Arwah pengarah, Mamat Khalid, semasa hayatnya turut menghasilkan filem yang menyindir bangsa Melayu, mengkritik dan memerli kaki jilat. Namun, mengapa naskahnya tidak anggap musuh oleh masyarakat dan Mamat selamat dari terkena serangan simbahan cat berbanding nasib malang yang menimpa sutradara, Khairi Anwar tahun lalu.

Menurut pengarah dan pelakon, Nasir Jani, seorang pengkarya perlu faham akan sesebuah genre filem yang ingin dihasilkan selain bersiaga membina asas karakter sebelum dipersembahkan ke layar.

“Sesetengah pembikin filem tidak cukup ilmu, mereka tidak tahu apa itu komedi dan parodi. Sama seperti penulis, mereka menyampaikan sesuatu dengan penulisan. Tapi pembikin filem sampaikan sesuatu dengan visual, kalau tidak faham, apa yang anda mahu berikan?

“Mamat faham semua itu. Dia tahu sejarah, falsafah di setiap watak yang dicipta. Macam dia cipta watak orang Melayu, dia tahu akan tamadun, bukan hanya dari fizikal. Itu yang membezakan filem itu menjadi atau tidak.

“Pengarah dan penulis skrip perlu ada ilmu mengapa sesuatu adegan itu dicipta. Jika mahu belajar, tontonlah banyak filem. Jika mahu rujukan, boleh tengok peninggalan Mamat Khalid,” katanya ketika ditemui di Sarang Art Hub, baru-baru ini.

Tambah Nasir lagi, pembikin filem perlu sedar nilai kritikan yang mereka bahaskan di dalam naskhah dan kesannya terhadap pembinaan masyarakat.

“Pembikin filem mempunyai tanggungjawab sosial dalam mengkritik. Seperti filem Rozana Cinta 87 yang saya hasilkan untuk mengkritik LGBT dan Kembara Seniman Jalanan yang mengkritik jenayah cetak rompak.

“Pencipta filem baru hari ini menghasilkan naskhah kerana mempunyai agenda peribadi yang mereka anggap ia masalah semua rakyat Malaysia. Janganlah hanya kerana kita pembikin filem, ada ruang dan pelabur, kita buat filem sesuka hati.

“Kita kena fikir adakah isu yang kita kritik dan utarakan membantu dari segi pembinaan bangsa?” tambahnya.

Pembikin filem kena banyak membaca

Senada dengan Nasir Jani ialah bapa animasi dan pengkritik filem, Hassan Muthalib yang menasihati pembikin filem muda untuk memperkaya pengetahuan dengan membaca.

“Filem yang baik mesti menghiburkan tidak kira secara emosi mahupun intelektual. Selain itu, ia mempunyai teks dan subteks. Pengkarya perlu banyak membaca dan tahu tentang sastera dan sejarah.

“Apabila mereka tahu mengenai itu, apa yang dihasilkan tidak terasa ‘kosong’. Dengan merujuk kepada karya klasik dan kontemporari, mereka boleh melihat evolusi watak orang Melayu, inilah yang dipanggil ‘solid ground’.

“Lihatlah bagaimana gangster Melayu dalam filem Amir dan Loqman Pergi ke Laut yang masih jaga adab. Bukan seperti filem gangster lain rambut warna warni panggil orang ‘lu’ ‘gua’,” jelasnya.

Untuk rekod, Allahyarham Mamat Khalid meninggal dunia pada 24 Oktober 2021 akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Perak.

Sepanjang hayatnya, Mamat telah menghasilkan deretan filem popular seperti Hantu Kak Limah, Zombie Kampung Pisang, Man Laksa, Rock Oo, Rock Bro, 16 Puasa, 17 Puasa, 18 Puasa Di Kampung Pisang dan Lang Buana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya