Malaysia tidak pernah iktiraf tuntutan China di Laut China Selatan

Malaysia tidak pernah iktiraf tuntutan China di Laut China Selatan

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan berdasarkan Peta 9-Garis atau Nine Dash Line, konsep Empat-Sha atau mana-mana peta yang diterbitkan oleh republik itu yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Kerajaan Malaysia amat tegas menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa China ke kawasan maritim di Laut China Selatan yang meliputi kawasan maritim Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Ini kerana katanya, ia tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNLOS) 1982.

“Pendirian Malaysia berhubung isu di Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten. Semua pertikaian dan penyelesaian isu-isu berhubung Laut China Selatan hendaklah berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuklah Konvensyen Undang–Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 atau UNCLOS 1982.

“Kerajaan Malaysia menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.

“Tindakan-tindakan yang diambil termasuklah rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan di dalam kawasan maritim Malaysia bagi mempamerkan kehadiran di kawasan tersebut. Semua agensi penguatkuasa dan pemantauan maritim di negara amat komited dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia adalah kekal terpelihara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Datuk Dr. Ku Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) meminta Menteri Luar menyatakan pendirian Malaysia tentang tuntutan negara China terhadap Kawasan Nine Dash Line yang termasuk dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia seperti diiktiraf UNCLOS 1982.

Menjawab soalan tindakan dilakukan untuk menunjukkan kehadiran negara itu di ZEE Laut China Selatan, beliau menegaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama di dalam setiap tindakan yang diambil.

“Seperti mana dewan yang mulia ini sedia maklum, isu berkaitan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif.

“Oleh yang demikian, isu ini perlu dikendalikan secara berhati-hati, teliti dan menyeluruh. Setiap
tindakan yang diambil oleh kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif dan tidak sesekali akan memprejudiskan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya