Malaysia tidak pernah iktiraf Israel, tetap pendirian bersama Palestin - PM

Malaysia tidak pernah iktiraf Israel, tetap pendirian bersama Palestin – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri menegaskan, Malaysia kekal konsisten dengan pendirian terhadap isu Israel dan Palestin serta menekankan Putrajaya tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel secara diplomatik.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia tidak menghantar pegawai kedutaan atau menjalin hubungan diplomatik dengan Israel sebagai langkah protes terhadap penindasan ke atas rakyat Palestin.

Kata beliau, Malaysia tetap komited dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan dalam banyak forum antarabangsa termasuk sidang di Riyadh ke APEC kali ini, Malaysia tidak pernah berhenti menyuarakan tentangan terhadap penjajahan dan kezaliman dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

“Apa yang perlu difahami, kita tidak pernah mengiktiraf Israel dari segi hubungan diplomatik dan tidak izinkan mereka untuk menjalankan perdagangan atau aktiviti rasmi di Malaysia.

“Dalam konteks sistem antarabangsa, ada yang menyebutkan de facto dan ada mengatakan de jure. Israel wujud sebagai sebuah negara di dalam konteks keanggotaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun kita tetap menolak pengiktirafan rasmi terhadap negara tersebut,” katanya pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima, Peru.

Anwar turut membidas tuduhan dan dakwaan bahawa beliau atau kerajaan Malaysia bersekongkol dengan Israel.

“Politik apa macam ini, perbodohkan rakyat, fitnah atas nama Islam, ini disebut penunggang agama yang tak reti mengulas.

“Tuduhan seperti itu tidak berasas dan merupakan fitnah yang sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik sempit.

“Mereka yang menyebarkan fitnah ini tidak faham tentang konteks politik antarabangsa atau mungkin mereka sengaja mencari alasan untuk putar belit fakta untuk tujuan tertentu. Saya mahu rakyat faham bahawa Malaysia terus berpegang pada prinsip keadilan untuk Palestin,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, pada sidang APEC yang berlangsung di Lima, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang secara terbuka membangkitkan isu Palestin walaupun tema utama perbincangan tersebut adalah mengenai ekonomi dan perdagangan.

Beliau turut mengaitkan isu tersebut dengan prinsip perdagangan bebas yang seharusnya tidak boleh menafikan hak rakyat Palestin.

“Bagaimana kita boleh bercakap tentang ekonomi dan perdagangan bebas jika hak sesebuah bangsa dinafikan? Ini soal keadilan. Malaysia akan terus menyuarakan sokongan untuk rakyat Palestin di mana jika ia diperlukan,” katanya.

Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menipu atau menyebarkan fitnah hanya untuk kepentingan politik sedangkan pernah berlaku kapal dan pesawat Israel berlabuh serta melalui ruang udara Malaysia pada pemerintahan kerajaan sebelum ini.

Beliau juga tidak akan membiarkan politik dan fitnah menghalang negara dari terus memperjuangkan hak-hak asasi manusia dan menentang penjajahan di seluruh dunia terutamanya dalam isu keadilan rakyat Palestin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya