PETALING JAYA: Syarikat pertahanan Korea Selatan diminta menyiapkan segera perolehan 18 unit pesawat pejuang ringan FA-50M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau membangkitkan perkara tersebut dalam pertemuan dua hala dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.
“Kita juga minta disegerakan pembelian yang sudah diputuskan beberapa tahun lalu, iaitu 18 unit pesawat FA-50M yang sepatutnya diterima pada 2026. Tetapi kalau boleh, diminta dipercepatkan,” katanya seperti dilaporkan portal berita.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar tertutup bersama wakil media Malaysia di Seoul.
Anwar mengakhiri lawatan kerja di Korea Selatan yang bermula sejak Ahad lalu diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut menyertai delegasi adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.
Terdahulu, media melaporkan, pembuatan pesawat pejuang ringan itu dibuat mengikut garis masa ditetapkan di mana prosesnya kini mencecah 39 peratus.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua pesawat pejuang ringan itu dibina mengikut perancangan, seterusnya dijangka mula dihantar ke Malaysia seperti ditetapkan pada 2026. – UTUSAN