Malaysia-Mesir perkukuh kerjasama pertahanan, keselamatan - Utusan Malaysia

Malaysia-Mesir perkukuh kerjasama pertahanan, keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Mesir menyatakan komitmen bagi terus memperkukuh kerjasama dalam semua bidang termasuk pertahanan dan keselamatan.

Dalam kenyataan bersama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke negara itu, beliau dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi berkata, kerjasama tersebut akan diterjemah menerusi dialog tetap, perkongsian maklumat, latihan bersama serta menangani jenayah rentas sempadan seperti ancaman keselamatan siber serta penipuan mata wang kripto.ti

“Ini termasuk, antara lain, dialog dan rundingan berkala, perkongsian maklumat, latihan bersama, inisiatif memerangi keganasan serta menangani jenayah rentas sempadan seperti ancaman keselamatan siber dan penipuan mata wang kripto,” kata kenyataan itu.

Anwar dan El-Sisi turut berhasrat untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik dalam masa terdekat.

Kedua-dua pemimpin itu turut mengiktiraf potensi ekonomi masing-masing dan yakin terhadap pertumbuhan berterusan nilai perdagangan serta aktiviti pelaburan dua hala.

“Pemimpin terbabit menekankan bahawa hubungan perdagangan dan pelaburan yang komprehensif dan berdaya tahan antara Malaysia dengan Mesir adalah berdasarkan kepentingan bersama dalam perdagangan bebas, adil dan terbuka.

“Mereka juga bersetuju bahawa Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN dan Pasaran Bersama bagi Timur dan Selatan Afrika (COMESA) akan terus memberikan manfaat kepada kedua-dua negara,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan mengekalkan serta memperkukuh kerjasama dalam pendidikan tinggi dan latihan.

“Dalam hal ini, Malaysia menghargai keprihatinan Mesir dalam menawarkan peluang biasiswa kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi di Mesir.

“Kedua-dua pemimpin juga membincangkan usaha mempelbagaikan kerjasama antara kementerian masing-masing dalam menangani isu-isu dan memajukan perjanjian yang saling menguntungkan,” menurutnya.

Dalam aspek pertukaran budaya, Anwar dan El-Sisi bersetuju bahawa Malaysia dan Mesir akan terus menjadi destinasi popular untuk pelajar dan pakar memperluas kajian serta penyelidikan berkaitan budaya, serta bekerjasama mengekalkan momentum kerjasama yang positif.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen mereka untuk meningkatkan usaha menangani isu perubahan iklim, dengan bersetuju mengambil pendekatan seimbang antara cita-cita iklim dan pembangunan mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya