PETALING JAYA: Malaysia berhasrat menubuhkan ekosistem halal di Peru dengan memanfaatkan pembangunan Pelabuhan Chancay sebagai laluan strategik untuk mengeksport produk halal negara menembusi pasaran Amerika Latin.
Perkara itu dirintis selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan rasmi ke atas Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra di Istana Kerajaan di Lima, Peru.
Pelabuhan Chancay yang terletak 80 kilometer di utara ibu kota Peru bernilai AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion) merupakan satu pelabuhan mega bakal siap dibina tidak lama lagi.
Menurut Anwar, Malaysia sedar kepentingan pelabuhan yang baharu dibangunkan itu dan berharap dapat menyumbang kepada pembangunan infrastruktur di pelabuhan tersebut.
“Malaysia juga membayangkan untuk menubuhkan ekosistem halal di Peru dengan memanfaatkan pembangunan Pelabuhan Chancay sebagai laluan strategik untuk mengeksport produk halal negara menembusi pasaran Amerika Latin,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Pelabuhan Chancay yang juga digelar sebagai ‘pintu gerbang menuju ke benua Asia’ dijangka membentuk landskap baharu dalam perdagangan antara Amerika Selatan dengan Asia dengan Peru muncul sebagai hab perkapalan utama di Pasifik yang boleh terus mengakses ke pasaran Asia.
Terdahulu, Anwar menerima sambutan negara dalam kunjungan rasmi ke atas Presiden Peru di Istana Kerajaan di Lima.
Selain itu, Anwar dan Boluarte juga membincangkan peluang kolaborasi ekonomi antara kedua-dua negara selain Kerjasama Selatan-Selatan di samping dalam bidang pertanian dan sekuriti makanan.
“Kami berdua turut berkongsi aspirasi yang sama dalam soal memerangi rasuah dan memperbaiki tatakelola di negara masing-masing.
“Saya optimis hubungan Malaysia dan Peru akan berkembang pesat dengan pelbagai kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.
Menurut Anwar, beliau turut mempelawa Boluarte dan delegasi Peru untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia tahun depan.
Dalam pada itu, Anwar dan Boluarte menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU), iaitu antara Halal Development Corporation (HDC) dan Suruhanjaya Penggalakan Eksport dan Pelancongan Peru (PROMPERU).
MoU kedua pula terkait kerjasama pertanian antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Inovasi Pertanian Negara (INIA) manakala MoU ketiga antara Taylor’s University dan Pusat Latihan Pelancongan Peru (CENFOTUR) mengenai kerjasama dalam gastronomi dan hospitaliti.
Dalam sambutan rasmi itu, Anwar menerima penghormatan tertinggi Kerajaan Peru ‘El Sol del Peru’ yang dianugerahkan kepada raja, ketua negara, ketua kerajaan, menteri luar negeri, menteri negara, duta asing bertauliah atau presiden pihak berkuasa awam.
Katanya, beliau berbesar hati menerima anugerah itu bagi pihak rakyat Malaysia dan ia juga sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara.
“Penganugerahan ini juga diharap menjadi permulaan baharu kepada perhubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau kini berada di Lima, Peru bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) APEC 2024.
Dalam persidangan itu, beliau dijangka menekankan komitmen Malaysia ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi selain memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif buat semua. – UTUSAN