PETALING JAYA: Malaysia berhasrat menjadikan pentas ASEAN sebagai jambatan bagi menghubungkan gabungan tiga hala antara Asia Tenggara, China dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mahu kerjasama ASEAN diperluaskan dan mengiktiraf pertumbuhan signifikan negara Arab dalam industri perdagangan antarabangsa dan geopolitik mutakhir ini.
Beliau berkata, dengan menghubungkan ASEAN, China dan GCC, ia secara tidak langsung dapat membina kerjasama antara Asia Timur, Asia Tenggara dan Asia Barat.
“Ia membuka ruang lebih luas dalam sektor ekonomi, budaya dan kerjasama strategik negara serantau yang akan menyumbang kepada berkongsi matlamat sama untuk menghadapi cabaran global seperti keterjaminan tenaga, pembangunan mampan dan kepelbagaian ekonomi,” katanya dalam ucaptamanya pada Syarahan Umum di Universiti Peking, Beijing, China, semalam.
Perdana Menteri berkata, ASEAN kini adalah satu rantau dengan 671 juta penduduk yang mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai AS$3.8 trilion (RM16.7 trilion) menjadikannya kuasa ekonomi kelima terbesar dunia.
Menyedari tanggungjawab yang bakal digalas selaku Pengerusi ASEAN 2025, beliau berkata, landskap global yang semakin rumit masa kini memerlukan ASEAN untuk memikul peranan baharu.
“Tahun 2025, tema ASEAN adalah ‘inklusif dan mampan’ yang mencerminkan visi seluruh ahli ASEAN tanpa mengira saiz, kapasiti ekonomi, mendapat manfaat pertumbuhan dan pembangunan.
“Bagi mencapai hasrat ini, Malaysia perlu menjuarai prinsip pemusatan ASEAN. Konsep ini akan meletakkan ASEAN di tengah-tengah keamanan serantau, terjamin dan kerjasama ekonomi,” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pemusatan ASEAN adalah asas untuk membolehkan rantau ini berinteraksi secara konstruktif dengan kuasa dunia pada masa sama mengekalkan kebebasan dan mempromosikan kestabilan serantau.
“Pemusatan bermaksud tiada negara, tidak kira berapa besar menentukan secara unilateral apa yang harus dilakukan oleh negara lain atau bagaimana ia harus dilakukan.
“Pemusatan ASEAN dapat dikekalkan jika Asia Tenggara bersatu padu. Malaysia mengiktiraf ini dan sebagai Pengerusi, kami akan bekerja tanpa lelah untuk perpaduan ASEAN, memastikan semua suara didengari dan keputusan bersama adalah keutamaan,” katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai hasil lawatan kerja selama empat hari ke China, Anwar berkata, China Investment Corporation (CIC) dan China International Capital Corporation (CICC) menyatakan minat untuk melabur di Malaysia.
Katanya, pada hari terakhir lawatan kerjanya ke China, beliau sempat mengadakan pertemuan dengan pelabur berpotensi iaitu CIC dan CICC.
“Dalam pertemuan ini, CIC dan CICC menyatakan minat untuk melabur di Malaysia dan melihat keperluan mempermudahkan kemasukan syarikat-syarikat China yang ingin mengembangkan operasi mereka di Asia Tenggara,” ujarnya. – UTUSAN