PETALING JAYA: Malaysia mengutuk keras ujian peluru berpandu balistik yang dijalankan oleh Korea Utara pada 31 Oktober lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketegasan tersebut berteraskan prinsip memelihara keamanan serantau dan tidak bertolak ansur terhadap cubaan mencetus ketidakstabilan.
“Oleh kerana jaringan keselamatan Korea dan rantau ini, kita telah mengecam Korea Utara yang melancarkan peluru berpandu balistik pada 31 Oktober lalu yang mengancam keselamatan.
“Kita ambil pendekatan bahawa setiap negara mempunyai hak untuk mengadakan apa-apa program pertahanan mereka, tetapi tidak berhak untuk mencetus provokasi dan ketegangan serantau,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani, hari ini
Beliau berkata demikian dalam sidang media tertutup bersama wakil media Malaysia di Seoul, Korea Selatan.
Anwar mengakhiri lawatan kerja di Korea Selatan yang bermula sejak Ahad lalu, di mana beliau diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut menyertai delegasi adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.
Terdahulu, media melaporkan, Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang terbang selama 86 minit, penerbangan terpanjang yang direkodkan oleh ICMB dan lebih 1,000 kilometer (621 batu) sebelum jatuh ke perairan pantai timur, kata tentera Korea Selatan.
Pelancaran itu berlaku ketika hubungan antara kedua-dua negara semakin merosot.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap wawasan Presiden Republik Korea, Yoon Suk Yeol untuk menyatukan Semenanjung Korea.
Jelasnya, pendirian tersebut disambut baik oleh Yoon semasa dizahirkan dalam pertemuan kedua-dua pemimpin pada Isnin.
“Presiden Yoon mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kita yang memberi dokongan kepada dia untuk bergerak ke arah penyatuan Korea. Daripada permusuhan dan perbalahan, lebih baik mereka bergerak ke arah penyatuan,” jelasnya.- UTUSAN