PETALING JAYA: Malaysia sedang merangka kerjasama dengan negara-negara sepemikiran dan pihak berkepentingan bagi melaksanakan projek pembangunan semula infrastruktur asas di Gaza sebagai bantuan pasca konflik.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek pembangunan semula tersebut bakal dilaksanakan secara kolektif melalui usaha sama kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, organisasi antarabangsa serta rakan penaja antarabangsa setelah keadaan di Palestin kembali stabil.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Malaysia tidak akan berputus asa untuk terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.
“Dalam konteks bantuan pasca konflik, Malaysia kini merangka kerjasama terutama dalam bidang perubatan dan pendidikan bagi pemulihan dan pembangunan semula infrastruktur asas di Gaza,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) yang meminta perincian mengenai perancangan kerajaan untuk membantu membina kembali keperluan asas penduduk Gaza, termasuk rumah, sekolah dan hospital yang telah dimusnahkan oleh rejim Zionis.
Menurut Mohamad, pelaksanaan pelan tersebut akan dimulakan sebaik sahaja gencatan senjata kekal tercapai.
Dalam pada itu, beliau berkata, tumpuan utama Malaysia bagi projek pembangunan semula tersebut adalah untuk memulihkan sektor kesihatan, memperkukuh pendidikan dan membangunkan semula perkhidmatan asas di Gaza.
“Langkah ini diambil dengan harapan bantuan tersebut dapat memberi rakyat Palestin peluang untuk bangkit semula dengan kekuatan serta daya tahan jangka panjang.
“Pelan pembangunan semula Gaza ini bukan sekadar bertujuan membina kembali infrastruktur yang musnah, tetapi juga membawa harapan baharu bagi rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN