Malaysia kena contohi Singapura haramkan vape

Malaysia kena contohi Singapura haramkan vape

AYUB Yaakob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia sepatutnya mencontohi negara jiran Singapura yang mengharamkan terus penggunaan dan penjualan vape dengan menetapkan undang-undang tegas terhadap kesalahan memiliki rokok elektronik tersebut.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, republik itu menetapkan bahawa individu memiliki, membeli atau menggunakan rokok elektronik dan komponen berkaitannya boleh didenda sehingga S$2,000 (RM7,000) bagi setiap kesalahan.

“Ia juga satu kesalahan untuk menjual, memiliki dengan niat untuk menjual, mengimport atau mengedar rokok elektronik dan komponen berkaitannya. 

“Pesalah boleh didenda sehingga S$10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan didenda sehingga S$20,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya untuk kesalahan kedua atau seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, meskipun cecair vape tidak memberi kesan dadah dalam tubuh seseorang, namun penggunaan cecair perisa seperti cendawan boleh memberi rangsangan halusinasi dan khayal serta kesan negatif lain kepada penghisapnya.

Oleh itu, kata beliau, MCPF berpandangan Malaysia sepatutnya belajar daripada kesilapan sebelum ini sehingga mengakibatkan negara gagal menangani isu dadah dengan berkesan. 

“Malah, hingga ke hari ini dadah masih menjadi musuh nombor satu negara,” katanya.

Katanya, penagihan bahan mengkhayalkan seperti ini bukan sahaja memberi kesan negatif kepada perkembangan otak manusia malah ia boleh menjurus kepada aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti ragut, kecurian, rogol dan sebagainya.

Justeru kata Ayub, MCPF berpendapat perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh dan mencadangkan agar penjualan peranti merokok ini diharamkan atau sekurang-kurangnya digantung buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada kajian mekanisme serta dasar lebih efektif bagi mengawalnya.

“Ini termasuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu selain penguatkuasaan berkesan dan sistematik untuk mengawal penyalahgunaan peranti ini oleh kanak-kanak di bawah umur 18 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Ayub berkata, MCPF menyokong penuh saranan Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara menyeluruh bagi mengelakkan mudarat lebih besar kepada masyarakat terutama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Katanya, malah pada 29 November 2015, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengharamkan penjualan dan penggunaan vape di negeri itu bermula 1 Januari 2016, sekali gus menjadi negeri pertama di negara ini yang berbuat demikian.

“Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilapor berkata kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak mengharamkan penjualan vape di peringkat nasional namun, ia diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dalam menentukan dasar masing-masing,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN