PUTRAJAYA: Malaysia amat kecewa dengan kegagalan sekali lagi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menerima pakai satu resolusi yang bertujuan mengenakan gencatan senjata di Gaza.
Ini termasuk bertindak dalam memudah cara penyaluran segera perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan di wilayah Palestin itu.
Menurut Kementerian Luar, resolusi ini yang telah mendapat sokongan majoriti anggota Majlis Keselamatan PBB, telah digagalkan melalui penggunaan kuasa veto pada 20 November lalu.
“Penggunaan kuasa veto ini mematahkan harapan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan jenayah genosid di Gaza dan menjejaskan usaha-usaha berterusan untuk mencari jalan penyelesaian kepada krisis ini.
“Malaysia menggesa agar Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan yang tegas bagi menamatkan bencana kemanusiaan di Gaza.
“(Pada masa sama, pertubuhan itu) perlu melaksana peranan utamanya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, mempertahankan prinsip-prinsip asas yang termaktub dalam Piagam PBB dan melindungi kedaulatan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malaysia kekal bersolidariti dengan Palestin, dan mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk mencari jalan penyelesaian yang aman dan berkekalan dalam isu Palestin. – UTUSAN