PETALING JAYA: Malaysia dan Hong Kong terus komited memperkukuhkan hubungan dua hala dengan tumpuan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang seperti pelaburan, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan sistem rel transit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), John Lee Ka-chiu, di sela-sela Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2024 di Lima, Peru.
Menurut beliau, pertemuan tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperluaskan hubungan ekonomi dan sosial demi kebaikan bersama.
“Kerjasama ini penting untuk memastikan Malaysia dan Hong Kong terus memperluaskan hubungan ekonomi dan sosial yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Hong Kong turut menawarkan peluang kepada Malaysia untuk mempelajari teknologi pengangkutan canggih mereka dan menyertai projek pembangunan hab Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), termasuk Taman Sains yang diterajui oleh HKSAR.
Anwar berharap jemputan berkenaan akan memperkukuh keupayaan Malaysia dalam bidang teknologi dan inovasi.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong (HKETO) yang bakal beroperasi di Kuala Lumpur mulai Februari 2025.
Kata beliau, pembukaan pejabat itu dijangka membuka peluang baharu untuk mengeratkan hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua negara.
“Pembukaan HKETO di Kuala Lumpur adalah peluang yang baik untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dan teknologi antara Malaysia dan Hong Kong,” katanya.
Kerjasama itu juga sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk meningkatkan daya saing ekonomi serantau.
Pada tahun lalu, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Hong Kong mencatatkan angka yang memberangsangkan sehingga mencecah RM105.09 bilion (AS$23.03 bilion).
Jumlah eksport Malaysia ke Hong Kong bernilai RM89.84 bilion (AS$19.69 bilion), manakala import pula sebanyak RM15.25 bilion (AS$3.34 bilion) dengan lebihan dagangan memihak kepada Malaysia. – UTUSAN