KUALA LUMPUR: Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan dua akta maritim baharu negara itu yang melanggar sempadan maritim Sabah.
Dua akta tersebut ialah Akta Zon Maritim Filipina (RA 12064) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (RA 12065).
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, kerajaan telah mendapat nasihat dan dirujuk kepada agensi berkaitan serta mendapat pengesahan mengenai kandungan dalam akta itu.
Beliau berkata, akta tersebut mengeluarkan sempadan baharu dan ia telah melanggar peta Malaysia 1979 yang dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa.
“Terdapat dokumen rujukan akta berkenaan turut menyentuh soal tuntutan negara itu terhadap Sabah.
“Kita telah memurtadkan dan mempertimbangkan beberapa isu utama yang akan kita masukkan dalam nota bantahan kita.
“Nota bantahan ini, kita akan hantar hari ini juga demi menunjukkan komitmen kita bahawa hak kedaulatan Sabah dan negara kita akan terus kita pertahankan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini.- UTUSAN