Malaysia guna Petrol Euro 5 mulai September 2025

Malaysia guna Petrol Euro 5 mulai September 2025

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM:  Malaysia akan mula melaksanakan penggunaan petrol Euro 5 pada September 2025 sebagai usaha jangka panjang untuk mempertingkatkan kualiti udara negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam(NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pelaksanaan itu dijangka mencapai spesifikasi penuh pada 2027 dan sejajar dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Bahan Api Petrol dan Diesel) 2007.

“Pelaksanaan petrol Euro 5 ini merupakan satu langkah penyelesaian jangka panjang yang akan memberikan impak positif terhadap kualiti udara di Malaysia.

“NRES dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan peralihan ini berjalan lancar,” katanya ketika merasmikan Ops Gerak kenderaan Bermotor Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Hari Ozon Sedunia 2024 di sini, hari ini.  

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Datuk Nor Yahati Awang dan Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Menurut Nik Nazmi, penggunaan petrol Euro 5 turut dijangka mendorong industri automotif tempatan untuk meningkatkan teknologi kenderaan, terutama melibatkan kenderaan komersial dan industri berat. 

Katanya, kenderaan yang memenuhi spesifikasi pelepasan Euro 5 akan beroperasi dengan lebih efisien dan mengeluarkan pelepasan asap yang lebih bersih, menyumbang kepada usaha kerajaan untuk mengurangkan pencemaran udara.

Sementara itu, bagi memastikan pematuhan terhadap standard pelepasan asap, JAS turut menjalankan Ops Gerak Kenderaan Bermotor Peringkat Kebangsaan melibatkan kerjasama empat agensi penguatkuasaan iaitu JAS, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Setakat Oktober 2024, operasi bersepadu itu telah memeriksa 334,974 kenderaan dengan sebanyak 1,097 tawaran kompaun dan 82 Perintah Larangan dikeluarkan atas kesalahan pelepasan bahan pencemar melebihi standard yang ditetapkan.

“Ops Gerak ini bertujuan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap pelepasan asap kenderaan yang menyumbang kepada pencemaran udara, khususnya di bandar-bandar besar.

Kami akan terus memastikan kenderaan di negara ini mematuhi standard pelepasan untuk menjamin kualiti udara yang lebih bersih,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN