Malaysia, Brazil kerjasama pendidikan rentas global

Malaysia, Brazil kerjasama pendidikan rentas global

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIO DE JANEIRO: Malaysia menyatakan komitmen bagi memperluaskan kerjasama bersama Brazil terutama dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut seiring dengan keperluan global semasa.

“Kita perlu mengubah pemikiran tradisional yang terlalu bergantung kepada negara dan universiti tertentu. Kini tiba masanya kementerian berkaitan, termasuk pendidikan tinggi, mempertimbangkan kolaborasi antara universiti dan usaha penyelidikan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan kejayaan kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan, dan pemunggahan (FPSO) Yinson Holdings Bhd Malaysia, Maria Quitéria, yang memulakan pengeluaran minyak pertamanya pada 15 Oktober lalu, di sini hari ini.

Anwar dalam masa yang sama turut memuji kejayaan FPSO Yinson di Brazil sebagai bukti kebolehan syarikat Malaysia bersaing di peringkat global.

“Pencapaian ini sesuatu yang sangat membanggakan rakyat Malaysia. Ia juga mengukuhkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan Brazil,” tambahnya.

Terdahulu Anwar dalam pertemuan bersama Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva menyatakan negara terbabit menyokong penuh usaha memperluaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, termasuk dalam sektor pelaburan dan perdagangan.

“Presiden Lula juga memberi jaminan bahawa pentadbiran beliau akan terus menyokong usaha ini. Beliau turut menunjukkan minat untuk melawat Malaysia sempena mesyuarat ketua kerajaan ASEAN tahun depan. Ini peluang untuk merapatkan lagi kerjasama industri antara Malaysia dan Brazil,” katanya.

Anwar turut menggalakkan pelabur Brazil untuk meneroka potensi pelaburan di Malaysia, terutamanya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.

“Malaysia kini sedang agresif melaksanakan peta hala tuju peralihan tenaga. Saya yakin dengan kepakaran Brazil, kita boleh bekerjasama dalam bidang ini,” katanya.

Beliau juga menzahirkan rasa kagum terhadap dasar pentadbiran Presiden Lula yang menekankan kesaksamaan global, sokongan kepada negara Global South, dan usaha menghapuskan kemiskinan.

“Komitmen Brazil dalam hal ini sejajar dengan visi Malaysia untuk memperkukuh kerjasama global,” katanya.

Anwar turut menyatakan, selain bidang tenaga, kedua-dua negara bersetuju untuk memperluaskan kerjasama dalam sektor kritikal seperti semikonduktor.

Beliau juga mengiktiraf potensi Brazil dalam menawarkan peluang yang boleh dimanfaatkan Malaysia, dan sebaliknya.

“Walaupun perdagangan kita kini memberangsangkan, masih banyak ruang untuk kedua-dua negara menawarkan nilai tambah antara satu sama lain,” jelasnya.

Malaysia turut merancang menjemput Brazil menyertai platform antarabangsa ASEAN bersama rakan lain seperti India, China, Jepun, dan EU.

“Kehadiran Presiden Lula di forum ini akan membuka dimensi baru kerjasama ASEAN-Amerika Latin,” katanya.

Anwar turut menekankan sokongan Malaysia terhadap inisiatif Selatan-Selatan dan tadbir urus global.

“Dasar ini membolehkan Malaysia bekerjasama lebih erat dengan semua negara, termasuk Brazil, demi mengatasi cabaran sejagat,” katanya.

Pencapaian Yinson di Brazil, menurut beliau, bukan sahaja mencerminkan keupayaan syarikat Malaysia tetapi juga menjadi batu loncatan untuk hubungan lebih erat antara kedua-dua negara.

“Kita meraikan kejayaan ini sebagai simbol persahabatan yang semakin kukuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya