Malaysia, Brazil desak gencatan senjata, tamatkan konflik

Malaysia, Brazil desak gencatan senjata, tamatkan konflik

ANWAR Ibrahim (kiri) bersama Luiz Inácio Lula da Silva selepas Sidang Kemuncak G20 di Rio De Jeneiro, Brazil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIO DE JANEIRO: Dengan situasi meruncing ekoran konflik di Gaza sehingga mengorbankan ribuan nyawa, Malaysia dan Brazil terus mendesak gencatan senjata dengan segera dilaksanakan.

Selain itu, kedua-dua negara turut menuntut Israel memastikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik itu dapat disalurkan tanpa sebarang sekatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dalam satu kenyataan turut menuntut penubuhan negara Palestin yang berdaulat.

“Kedua-dua pemimpin juga sekali lagi menegaskan sokongan mereka terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, berdasarkan sempadan sebelum 1967 serta keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan bersama tersebut.

Anwar dan Lula sebelum itu mengadakan pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak G20, di sini, pada Ahad.

Pada masa sama, kedua-dua pemimpin turut menegaskan komitmen masing-masing untuk memerangi ketidaksetaraan, kelaparan dan kemiskinan serta berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat kedua-dua negara.

Ini termasuk pelancaran ‘Global Alliance against Hunger and Poverty’ di mana Lula menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Malaysia untuk menyertai pakatan itu sebagai anggota pengasas.

Kedua-dua pemimpin turut mengulangi komitmen mereka terhadap usaha bersama-sama dalam membasmi kelaparan di seluruh dunia menjelang akhir dekad ini, selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Malah, kenyataan bersama itu menyebut kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, industri halal, keterjaminan makanan dan pertanian, sains, teknologi dan inovasi, semikonduktor serta alam sekitar dan perubahan iklim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya