PETALING JAYA: Meskipun Barat terutama Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berada di barisan hadapan dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), Malaysia mengambil pendirian neutral dalam membuat pemilihan bagi penyelesaian terbaik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian neutral sedemikian membolehkan Malaysia tidak perlu bergantung kepada mana-mana rantau tertentu apabila melibatkan penggunaan AI.
“Ini bermakna Malaysia mengamalkan pendirian neutral dalam memilih teknologi dan penyelesaian terbaik sama ada dari AS, China, Eropah atau negara lain di dunia.
“Pendekatan Malaysia tertumpu kepada aspek paling bermanfaat untuk rakyat dan ekonomi selain mengekalkan kedaulatan terhadap masa depan digitalnya,” katanya pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dalam sesi bertajuk Peluang dan Cabaran Dalam Revolusi Al di Peru.
Ahli panel lain dalam sesi itu ialah Naib Presiden Data dan Al Microsoft Zia Mansoor, CEO Vobile Yangbin Wang serta Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google, Karan Bhatia.
Anwar mengakui merapatkan jurang digital adalah penting untuk pembangunan yang adil di seluruh lapisan masyarakat dalam keadaan dunia semakin dikuasai oleh AI dan teknologi digital.
Katanya, walaupun mengakui kemampuan Malaysia untuk menarik pelaburan besar dalam bidang ini, kerajaan turut menyedari cabaran memastikan ekonomi yang sedang berkembang kekal berdaya saing, saksama dan mampan.
Dalam pada itu, Anwar mengarahkan kementerian berkaitan mengambil tindakan segera bagi memastikan ketirisan data serta eksploitasi melibatkan AI tidak berlaku.
Katanya, melalui perbincangan bersama syarikat teknologi gergasi Google, aspek pemerkasaan ekosistem AI dan pusat data diberi perhatian terutama melibatkan undang-undang.
“Di sela-sela Sidang Kemuncak APEC 2024, saya turut berkesempatan mengadakan perbincangan dengan syarikat teknologi gergasi, Google khususnya terkait AI.
“Aspek pemerkasaan ekosistem AI dan pusat data perlu diberi perhatian sewajarnya, Jadi, saya mengarahkan kementerian berkaitan mengambil tindakan segera bagi memastikan kesan dapat dikawal,” katanya.
Sementara itu, Anwar menyerahkan 50 naskhah al-Quran cetakan khas dan terjemahan dalam bahasa Sepanyol kepada Persatuan Islam Peru. – UTUSAN